Siri Jelajah Australia: Hajat Malaysian Tigers Raih Kemenangan Disekat Australia A

Impian skuad hoki lelaki negara untuk mencatatkan kemenangan pertama disekat oleh lawan mereka Australia A pada perlawanan persahabatan keempat yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Perth apabila aksi tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

Faizal Saari dan Muhammad Razie Abd Rahim meledak gol untuk skuad negara masing-masing menerusi jaringan padang dan pukulan sudut penalti pada minit ke-21 dan 52.

Ketinggalan 1-0 nyata tidak mematahkan semangat skuad negara untuk bangkit mencari gol penyamaan menerusi jaringan Faizal serta jaringan pukulan sudut penalti Razie Rahim meletakkan skuad negara dihadapan 2-1 dan ketika perlawanan dilihat seakan memihak kepada skuad negara, Australia A bangkit mengikat mereka menerusi jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-56 untuk perlawanan tamat dengan keputusan seri.

Pengendali Malaysian Tigers, Stephen van Huizen ketika dihubungi selepas tamat perlawanan menyatakan perlawanan hari ini tampak lebih tersusun selain semangat yang tinggi ditunjukkan oleh pemain untuk memastikan setiap perancangan diterjemahkan dengan baik di atas padang.

“Saya melihat perlawanan hari ini lebih tersusun dari yang sebelum-sebelumnya dan pemain menunjukkan keazaman yang tinggi ketika merancang dan mengatur corak permainan untuk mencari jaringan.

“Perlawanan juga nampak sengit selain pemain berjaya untuk mencipta peluang-peluang terbaik untuk menjaringkan gol dan pemain hari ini juga menunjukkan skil individu yang cukup baik namun sama ada penyudahan kami yang kurang tajam atau penjaga gol bertindak cemerlang menyelamatkan bola menidakkan peluang kami untuk terus mencipta jaringan.

“Kami mencipta lebih banyak peluang hari ini dan pemain di bahagian tengah juga membantu dengan memberikan pilihan terbaik kepada pemain lain bagi membuat percubaan menjaringkan gol.

“Selepas terikat seri 2-2 di penghujung perlawanan kami memiliki satu peluang terbaik untuk menjaringkan gol kemenangan tetapi perlaksanaan yang kurang menjadi menyebabkan kami terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri,” jelas Stephen.

Skuad negara akan berehat esok sebelum turun untuk aksi persahabatan terakhir pada Rabu jam 10 pagi waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment