Siri Jelajah Australia: Pengalaman Berguna Buat Malaysian Tigers

Pertemuan terakhir Malaysian Tigers dan Australia A berkesudahan dengan skuad negara terpaksa akur untuk menerima kekalahan 1-6 kepada lawan mereka pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Perth selain dilihat ianya menjadi pengalaman cukup berguna buat mereka yang kini dalam persiapan untuk menghadapi Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Perlawanan terakhir yang berlangsung hari ini menyaksikan Muhammad Razie Abd Rahim merupakan penjaring tunggal buat skuad negara apabila menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-25 untuk menutup aksi separuh masa pertama dengan keputusan seri 1-1.

Pengendali skuad lelaki negara, Stephen van Huizen melihat kekurangan dari segi bertahan antara punca skuad negara dihukum dan membenarkan pasukan lawan menjaringkan tiga gol dalam tempoh tiga minit terakhir pada suku ketiga menutup ruang buat mereka untuk bangkit mengejar.

“Kami bermula dengan agak perlahan dan melepaskan gol awal apabila berlakunya kesilapan di dalam kawasan gol di mana pemain lambat untuk bertindak menyelamatkan keadaan.

“Bagaimanapun pemain berjaya untuk bangkit dan mendapatkan kembali rentak namun peluang-peluang yang dimiliki tidak disempurnakan dengan sebaiknya walaupun mempunyai beberapa percubaan yang boleh diterjemahkan kepada jaringan.

“Sebelum separuh masa pertama berakhir, kami berjaya untuk mendapatkan jaringan penyamaan apabila pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Razie Rahim dan kami berusaha keras untuk kembali memberikan cabaran namun tiga gol yang dijaringkan oleh lawan dalam tiga minit terakhir di suku ketiga menutup peluang kami untuk mengejar mereka.

“Setiap kali kami berdepan dengan situasi bahaya, tindakan untuk bertahan dengan baik tidak dilakukan dan kesilapan dari segi bertahan juga menyebabkan lawan menggunakan kesempatan untuk menghukum kami.

“Secara keseluruhan saya merasakan kami sepatutnya boleh beraksi dengan lebih baik tetapi apabila kami berada di bawah tekanan kami tidak dapat bertindak dengan cemerlang.

“Pasukan negara mendapat pengalaman yang cukup berharga kerana diberikan tentangan yang cukup hebat oleh pasukan yang baik dan kami kini memiliki dua minggu untuk melihat kekurangan dan kesilapan yang ada supaya dapat diperbaiki sebelum Sukan Asia bermula,” jelas Stephen.

Untuk rekod, skuad negara membuka tirai persahabatan dengan kekalahan 2-4 diikuti tewas 2-3 pada aksi kedua dan 0-3 pada perlawanan ketiga sebelum meraih keputusan seri 2-2 pada perlawanan keempat dan terbaru tewas 1-6 pada aksi terakhir.

Esok skuad lelaki akan pulang ke tanah air dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) jam 9 malam waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment