Sukan Asia 2018: Tugas Di Peringkat Kumpulan Selesai, Malaysian Tigers Alih Fokus Ke Separuh Akhir

Kemenangan 7-0 pada aksi terakhir kumpulan B ke atas Oman pada saingan Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang berlangsung di Padang Hoki Gelora Bung Karno telah menjamin Malaysian Tigers untuk mengiringi Pakistan sebagai wakil pasukan dalam kumpulan B  di pentas separuh akhir.

Malaysia menamatkan saingan di peringkat kumpulan dengan mengumpul keseluruhan 12 mata selain mencatat empat kemenangan dan satu kekalahan serta telah meledak 41 gol dalam lima perlawanan dan bolos enam untuk meletakakn mereka selaku naib juara kumpulan B.

Pengendali skuad lelaki negara, Stephen van Huizen ketika dihubungi selepas tamat perlawanan menegaskan apa yang penting untuk dia dan skuad bimbingannya adalah mereka telah melunaskan tanggungjawab pertama iaitu membawa pasukan beraksi di peringkat separuh akhir dan kini sedang merangka percaturan terbaik untuk turun berdepan pasukan pilihan kejohanan di separuh akhir iaitu India pada Khamis.

“Kami telah melakukan tugas kami dengan baik di peringkat kumpulan apabila tanggungjawab yang diberikan iaitu untuk memastikan pasukan mara ke separuh akhir telah dijalankan dengan sebaiknya.

“Tempoh rehat sehari akan kami gunakan untuk melakukan video analisis dan persediaan sepenuhnya bagi berdepan dengan India yang merupakan pasukan pilihan kejohanan dan kami akan turun selaku pasukan “underdog” selain akan berusaha untuk memberikan saingan yang sengit kepada mereka.

“Aksi di separuh akhir pastinya berbeza dan jika kami memperolehi kemenangan kami akan ke pentas akhir namun jika sebaliknya kami akan beraksi untuk penentuan pingat gangsa dan walaupun ini peluang untuk kami mencuba sedaya upaya untuk ke perlawanan akhir, tetapi ia bukan peluang yang mudah untuk kami.

“Kami perlu melakukan persediaan dari segi mental dan fizikal dengan secukupnya selain bersedia untuk satu pertarungan sengit dan saya berharap pemain akan meningkatkan corak permainan mereka pada tahap maksimum selain memberikan saingan yang tinggi kepada India,” jelasnya.

Bagi Stephen keputusan tewas kepada Pakistan di peringkat kumpulan yang meletakkan mereka selaku pasukan kedua terbaik dalam Kumpulan B tidak mahu difikirkan lagi sebaliknya mahu mengalihkan tumpuan dan fokus penuh kepada aksi separuh akhir bertemu India.

“Sebelum bermula kejohanan lagi kami telah menyedari bahawa antara kami atau Pakistan pasti akan muncul juara namun sayangnya kami tewas kepada Pakistan dan kami terima untuk berada di kedudukan kedua terbaik.

“Kami ingin melupakan apa yang telah berlaku di peringkat kumpulan kerana apa yang menanti kami selepas ini adalah satu tugasan yang cukup besar jadi tumpuan dan fokus kini adalah untuk pertemuan tersebut dan pastinya kami akan berusaha sedaya upaya untuk melakukan sehabis baik pada separuh akhir nanti,” tambah Stephen lagi.

Sementara penyumbang dua gol dalam pertemuan dengan Oman, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil masih belum puas dengan persembahan yang telah ditampilkan olehnya walaupun beranggapan ia sesuatu yang cukup bagus buat seorang penyerang apabila menjaringkan gol dan melihat pertemuan dengan India bukan sesuatu yang mudah namun tetap optimis untuk memberikan cabaran kepada lawan mereka nanti.

“Sebagai seorang penyerang pastinya ia sesuatu yang bagus apabila mendapat sentuhan jaringan tetapi jika mahu bercakap mengenai persembahan saya untuk perlawanan hari ini saya masih belum berpuas hati dengan apa yang telah saya berikan.

“Ada lagi yang boleh diperbaiki terutama apabila kami akan bertemu dengan India pada aksi separuh akhir di mana ia bukan perlawanna yang mudah untuk kami tetapi kami satu pasukan tetap berfikiran positif bahwa tiapa apa yang mustahil boleh berlaku,” jelas Tengku.

Malaysian Tigers akan berdepan India pada aksi separuh akhir, 30 Ogos jam 6.30 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment