Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin: Peluang Buat Enam Pemain Bukti Kemampuan

Enam pemain yang tidak beraksi di Sukan Asia 2018 baru-baru ini dipanggil oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk melengkapkan senarai 18 pemain yang akan beraksi di Kejohanan Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin 2018 yang akan berlangsung pada 18 hingga 22 September ini di Stadium Hoki Marrara, Australia di mana selain Malaysia kejohanan tersebut akan disertai oleh tuan rumah, Australia, Argentina dan Jepun.

Enam pemain yang diberi peluang untuk menggalas tugas di kejohanan tersebut ialah Muhammad Hafizuddin Othman, Muhammad Najib Abu Hassan, Mohamad Ashran Hamsani, Muhamad Ramadan Rosli, Muhammad Haziq Samsul dan Norsyafiq Sumantri.

Selain itu, kejohanan ini juga akan menyaksikan pengendali negara, Stephen van Huizen tidak akan menyertai pasukan kebangsaan kerana telah memohon untuk menyelesaikan masalah kesihatan salah seorang anggota keluarganya yang telah tertangguh sehingga tamat Sukan Asia baru-baru ini.

Tempat Van Huizen akan diambil alih oleh Muhammad Amin Rahim yang diberikan tanggungjawab untuk menggalas tugas selaku Ketua Jurulatih sementara bagi kejohanan tersebut sambil dibantu oleh Mohd Nasihin Nubli Ibrahim serta Pengarah Teknikal, En. Terry Walsh.

Amin ketika ditemui menyahut cabaran yang diberikan oleh KHM sambil menegaskan ia bukan satu tugas yang mudah untuk dirinya tetapi bertekad untuk cuba menjalankan tugas dengan baik sambil mahu memperlajari selok belok kejurulatihan daripada Pengarah Teknikal, Terry Walsh.

Dalam pada itu enam pemain senior tidak akan bersama skuad kebangsaan buat sementara waktu ekoran masalah kecederaan serta diberikan rehat dan akan kembali membantu pasukan kebangsaan bagi menghadapi dua cabaran yang lebih besar iaitu Trofi Juara-Juara Asia (ACT) pada 18 hingga 29 Oktober di Oman serta Piala Dunia di India yang akan berlangsung pada 28 November hingga 16 Disember.

Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Faizal Saari, Mohd Marhan Mohd Jalil, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Nabil Fiqri Mohd Noor dan S. Kumar akan menyertai pengendali negara, Van Huizen menjalani sesi pemulihan fisioterapi di Kuala Lumpur.

Ketika di minta untuk mengulas mengenai ketiadaan enam pemain tersebut dan peluang enam pemain yang menyertai pasukan ke Darwin, Amin Rahim memandang ia sebagai satu platform terbaik buat enam pemain tersebut membuktikan kemampuan mereka untuk beraksi di kejohanan berprestasi tinggi.

“Enam pemain senior tidak menyertai pasukan kerana ada yang mengalami kecederaan dan juga direhatkan, jadi ini merupakan peluang buat enam pemain yang menggantikan tempat senior ini untuk menyerlah.

“Selepas kejohanan ini skuad negara bakal menghadapi dua kejohanan besar iaitu ACT di Oman dan Piala Dunia di India dan apa yang saya harapkan pemain yang mendapat peluang beraksi di Darwin akan membuktikan keupayaan mereka selain menyakinkan barisan kejurulatihan potensi yang mereka miliki untuk terus beraksi di kejohanan yang berprestasi tinggi,” tambah Amin lagi.

Berikut merupakan senari 18 pemain yang akan ke Darwin:

  1. Muhammad Hairi Bin Abd Rahman
  2. Muhammad Hafizuddin Bin Othman
  3. Muhammad Razie Bin Abd Rahim (Kapten)
  4. Syed Mohamad Syafiq Bin Syed Cholan
  5. Muhammad Azri Bin Hassan
  6. Faiz Helmi Bin Jali
  7. Muhammad Najib Bin Abu Hassan
  8. Meor Muhamad Azuan Bin Hassan
  9. Mohd Fitri Bin Saari
  10. Joel Samuel Van Huizen
  11. Mohamad Ashran Bin Hamsani
  12. Muhammad Amirol Aideed Bin Mohd Arshad
  13. Nik Muhammad Aiman Bin Nik Rozemi
  14. Muhamad Ramadan Bin Rosli
  15. Muhammad Firhan Bin Ashari
  16. Muhammad Shahril Bin Saabah
  17. Muhammad Haziq Bin Samsul
  18. Norsyafiq Bin Sumantri

 

Jadual perlawanan skuad lelaki peringkat kumpulan.

Selasa 18 Sept              5.30 petang (waktu Malaysia) lawan Australia

Rabu 19 Sept                3.30 petang (waktu Malaysia) lawan Jepun

Jumaat 21 Sept             3.30 petang (waktu Malaysia) lawan Argentina

 

Perlawanan penentuan kedudukan akhir.

Sabtu 22 Sept               3.30 petang (waktu Malaysia) Penentuan Tempat 3 dan 4

Sabtu 22 Sept               6.00 petang (waktu Malaysia) Penentuan Juara

 

Berikut merupakan butiran penerbangan pergi dan balik skuad hoki negara.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) – Jetstar Asia

Perlepasan: 15 September 2018 – 2.40 Petang (3k686)

Ketibaan: 23 September 2018 – 2.00 Petang (3k685)

Recent Posts

Leave a Comment