Young Tigers Hormat New Zealand Menjelang SOJC

In MAIN

Young Tigers akan memulakan kempen menentang New Zealand pada Piala Sultan Johor (SOJC) 2024, esok, dan ketua jurulatih, I Vikneswaran mahu anak-anak buahnya tidak terlalu dibuai perasaan selepas menewaskan pasukan Kiwi itu dalam aksi persahabatan, beberapa hari lalu.

“Kami menewaskan New Zealand 2-1 dan Great Britain 1-0, tetapi, kemenangan itu tidak memberi apa-apa makna kerana ia hanya perlawanan persahabatan.

“Pertemuan itu hanya sesi memanaskan badan, kami amat menghormati lawan kami pada kejohanan ini, mereka memiliki kekuatan masing-masing,” kata Vikneswaran.

Beliau memberitahu, untuk edisi tahun ini, SOJC dijangka berlangsung sengit kerana rata-rata pasukan dalam persediaan untuk kelayakan Piala Dunia Remaja.

Jelasnya, pasukan-pasukan yang hadir ke Johor Bahru membawa pasukan terbaik dan mereka serius terhadap penyertaan di dalam SOJC.

“New Zealand merupakan sebuah pasukan yang sangat kompetitif, kami juga begitu dan memandang serius perjuangan kami di sini.

“Kami sangat teliti dengan persediaan pasukan, pasukan-pasukan lain juga sama,” ujarnya.

Tambah Vikneswaran, Young Tigers perlu bijak mengawal permainan dan mencari peluang menjaringkan gol.

“Sejak kebelakangan ini para pemain mempamerkan persembahan yang baik dan saya percaya sepenuhnya kepada kemampuan anak-anak buah saya,” katanya.

Young Tigers memburu gelaran kedua di SOJC selepas merangkul kejuaraan pada kejohanan pertama pada 2011.

SOJC yang akan berlangsung di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru telahpun memasuki edisi ke-12 dan selain persediaan ke Piala Dunia Remaja di India, tahun depan, tiga wakil Asia iaitu tuan rumah, Malaysia, India dan Jepun turut dalam persiapan ke Piala Remaja Asia di Muscat, Oman, bulan depan.

Kejohanan di Oman itu merupakan platform kepada pasukan-pasukan di Asia bagi memburu slot ke Piala Dunia Remaja, manakala, Australia yang turut bersaing di dalam SOJC bersama-sama New Zealand akan beraksi pada kelayakan bagi zon Oceania.

Esok, selain Malaysia berdepan New Zealand pada jam 8.30 malam, India yang dibimbing PR Sreejesh akan menentang Jepun (4 petang), manakala, Australia bertemu Great Britain (6.15 petang).

Recent Posts

Leave a Comment