Amin tuntut anak buah bangkit pada separuh akhir kedua

Ketua jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mohd Amin Rahim menuntut barisan pemainnya untuk bangkit semula pada aksi separuh akhir kedua Piala TNB menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) esok di Stadium Tun Razak.

Ini kerana, bekas pemain skuad negara itu percaya anak buahnya mampu untuk mencipta kemenangan sekali gus berpeluang melangkah ke pentas final Piala TNB, Ahad ini.

Pada aksi semalam, TNB hampir mengejutkan KLHC yang baru dinobatkan selaku juara liga dengan mempamerkan semangat melawan yang tinggi.

Bagaimanapun jaringan tunggal Mohd Syamim Mohd Yusof pada minit terakhir perlawanan menyaksikan KLHC mencatat kemenangan tipis 1-0 sekali gus mempunyai sedikit kelebihan menjelang aksi timbal balik, esok.

“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan prestasi barisan pemain saya.

“Tapi apakan daya, 15 saat sebelum tamat perlawanan Syamim berjaya menjaringkan gol.

“Namun sebelum itu, dua suku terakhir menyaksikan anak buah saya mempamerkan semangat juang yang tinggi.

“Harap tahap keyakinan dan momentum ini dapat diteruskan apabila bertemu lawan sama pada aksi separuh akhir kedua esok,” katanya.

Jelas Amin, sekiranya prestasi sama dapat diulangi barisan pemainnya, peluang untuk mencacatkan kemenangan di separuh akhir kedua cerah.

“Dalam permainan hoki moden, kelebihan satu atau dua gol sebenarnya tidak cukup.

“Saya yakin jika pemain dapat mempamerkan aksi terbaik, kita mungkin mampu memenangi perlawanan separuh akhir kedua nanti,” katanya.

Satu lagi perlawanan separuh akhir kedua menyaksikan Terengganu Hockey Team (THT) bakal membuat perhitungan semula dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Seperti pertembungan KLHC-TNB yang menyaksikan peluang kedua-keduanya masih terbuka luas, perlawanan antara THT-UniKL juga hampir sama kerana kedua-dua pasukan terikat seri 4-4 pada aksi separuh akhir pertama.

“Kami perlu lebih fokus pada perlawanan kedua ini selepas memberikan ruang kepada lawan untuk menjaringkan gol penyamaan di hujung permainan separuh akhir pertama.

“Masih ada berbaki 60 minit permainan dan ini bermakna peluang kami untuk mara ke final masih belum tamat,” kata pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

 

Piala TNB

Separuh akhir kedua

Esok (24 Februari 2017)

UniKL lwn THT, 6 ptg

TNB lwn KLHC, 8 mlm

(Stadium Tun Razak)

Recent Posts

Leave a Comment