Kejutan Anderson

Kejutan besar dilakukan Anderson Thunderbolt apabila menewaskan juara liga Divisyen Satu MBPJ Tiger 3-2 ada aksi suku akhir Piala TNB, Liga Hoki Remaja Malaysia hari ini sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Keputusan itu pastinya mengecewakan MBPJ yang dilihat berpeluang untuk meraih kejayaaan berganda. Ketua jurulatih Anderson Mohd Nizam Mohd Hashim nyata berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya yang mempamerkan kesungguhan tinggi untuk memenangi perlawanan itu.

“Sebelum turun beraksi, kami memang sedar akan berdepan cabaran besar apabila bakal bertemu juara liga.

“Tapi saya serta barisan kejurulatihan lain dapat merangka strategi permainan yang baik untuk perlawanan ini.

“Sebab ini adalah saingan kalah mati, jadi kami perlu melakukan persiapan sebaik-baiknya.

“Walaupun ada berlaku aksi tegang pada perlawanan hari ini, namun segala-galanya dapat di kawal.

“Kejayaan ini juga memenuhi sasaran kami untuk layak ke separuh akhir,” katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ itu, Anderson bermula baik apabila di depan seawal minit keempat menerusi jaringan padang kapten pasukan Muhammad Najme Ahmad Hayazi.

Namun MBPJ berjaya menyamakan kedudukan minit ke-20 selepas Muhammad Nur Asyraf Ishak berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti.

MBPJ memberi tekanan kepada Anderson apabila di depan pada minit ke-42 selepas Nur Asyraf sekali lagi meledak gol menerusi pukulan sudut penalti.

Namun semangat melawan tinggi menyaksikan Anderson berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Muhammad Aiman Shahmi Marzuki minit ke-45.
Muhd Aliff Ikhemal Zamri muncul wira Anderson dengan menjaringkan gol padang minit ke-51.

Liga Hoki Remaja Malaysia

Keputusan suku akhir Piala TNB

SSTMI Thunderbolt 5 SMKDBL Johor Juniors 0
AHP-MSP-Thunderbolt 3 SSTMI Juniors 1
BJSS Thunderbolt 6 SSMS Resilent 2
MBPJ Tiger 2 Anderson Thunderbolt 3

Recent Posts

Leave a Comment