Malaysia Tigers Tiada Masalah Pertahan Pingat Emas

Malaysian Tigers terbukti berada di dalam kelas yang tersendiri apabila mempertahankan pingat emas Sukan SEA selepas menewaskan Myanmar yang pertama kali beraksi di pentas akhir, 14-0 pada perlawanan final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Skuad bimbingan Stephen van Huizen menterjemahkan tujuh daripada 11 pukulan sudut penalti dan turut menjaringkan tujuh lagi jaringan menerusi gerakan padang.

Muhammad Razie Abd Rahim menjaringkan hatrik pada perlawanan akhir dan Stephen jelas gembira apabila anak-anak buahnya berjaya untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA walaupun perlawanan yang terpaksa dihentikan seketika ekoran hujan lebat dilihat sedikit mengganggu rentak pemainnya.

Stephen berkata: “Kami gembira kerana telah menyumbangkan pingat emas kepada negara dan kami telah menjangkakan bahawa pingat emas akan menjadi milik kami. Kami bermain tanpa tekanan dan memulakan perlawanan dengan tiga jaringan pada suku pertama.

“Bagaimanapun hujan yang turun telah sedikit merencatkan corak permainan kami tetapi ia bukannya alasan,” ujar Stephen yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan akhir, Muhammad Shahril Saabah, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Faizal Saari masing-masing menyumbangkan dua gol sementara Muhamad Ramadan Rosli, Meor Muhamad Azuan Hasan, Mohd Fitri Saari, Muhammad Azri Hassan dan Muhammad Rashid Baharom turut menyumbangkan satu gol.

Bagaimanapun Stephen mengakui pada suku ketiga prestasi pemainnya sedikit menurun dan luahannya menuntut pemain untuk beraksi pada tahap permainan Malaysia yang sebenar disambut baik oleh anak-anak buahnya.

Stephen menyatakan: “Kami gembira dengan pingat emas ini dan kami mahu beraksi pada tahap permainan kami yang sebenar terutamanya pada suku yang terakhir kerana selepas suku ketiga corak permainan kami sedikit menurun dan saya menasihatkan kepada pemain bahawa mereka perlu menunjukkan kepada penyokong tahap permainan sebenar mereka dan pemain telah memberikan reaksi yang cukup baik.

“Di suku keempat kami menjaringkan tiga gol dalam tempoh dua minit dan kami cuba untuk mempersembahkan corak permainan hoki yang menarik untuk penonton menikmatinya,” akhiri Stephen.

Sementara itu naib juara hoki lelaki dua edisi lalu, Singapura membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan Thailand 2-1.

Recent Posts

Leave a Comment