Malaysian Tigress alih tumpuan ke Piala Asia 2017

Tumpuan Malaysian Tigress akan terarah kepada Piala Asia 2017 Kakamigahara, Jepun, yang bakal membuka tirai pada 28 Oktober hingga 5 November nanti apabila kembali menjalani latihan pada Khamis ini (14 September) selepas menamatkan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan mempertahankan pingat emas untuk kali ketujuh.

Pengendali skuad wanita negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah bakal memanggil 30 orang pemain untuk menjalani sesi latihan dan senarai 18 pemain yang akan terbang ke Jepun hanya bakal diketahui seminggu sebelum mereka berangkat ke negara matahari terbit itu.

Dharmaraj berkata: “Kami bercadang untuk berangkat ke Kakamigahara pada 22 Oktober dan perlawanan sebenar akan berlangsung pada 28 Oktober. Saya juga akan mengumumkan senarai 18 pemain yang akan menyahut cabaran Piala Asia 2017 seminggu sebelum kami berangkat.

“Untuk fasa latihan ini saya memanggil seramai 30 orang pemain di mana 10 daripada mereka merupakan pemain muda bawah 18 tahun tetapi mereka ini bukan dipanggil untuk merebut slot ke Jepun sebaliknya persediaan untuk kejohanan-kejohanan lain yang akan datang dan tempat bersama pasukan kebangsaan.

“Dalam kempen Piala Asia nanti saya mungkin akan kehilangan khidmat Noor Hasliza Md Ali, jadi saya amat berharap akan mendapat semula khidmat Fazilla Sylvester Silin yang tidak beraksi di Sukan SEA 2017,” jelas Dharmaraj ketika dihubungi.

Dharmaraj juga mahu pengalaman beraksi di Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia selain latihan keras yang telah mereka jalani dan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur yang baru dimenangi akan membantu pemain untuk menampilkan persembahan yang lebih baik dan mencatat keputusan yang memberangsangkan di Piala Asia nanti.

Jelas Dharmaraj: “Saya telah meletakkan sasaran yang lebih tinggi daripada meraih pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur kepada pemain-pemain iaitu cuba untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 dan mahu mereka yakin dengan sasaran itu. Pemain telah menjalani latihan yang luar daripada kebiasaan serta lebih sukar daripada biasa dan saya sangat gembira dengan peningkatan serta kemajuan yang telah mereka tunjukkan.

“Pengalaman beraksi di Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia Brussels pastinya akan membantu kami untuk beraksi di Piala Asia dan ditambah dengan pingat emas yang baru dimenangi pada Sukan SEA 2017 akan melonjakkan lagi keyakinan pemain. Saya yakin pemain akan menampilkan peningkatan yang drastik dalam mutu permainan mereka nanti.

“Justeru saya berharap dapat melihat satu tahap permainan yang lebih tinggi oleh pemain ketika di Jepun dan ia pastinya menarik untuk disaksikan bagaimana persembahan pemain-pemain serta keputusan yang bakal diraih di Piala Asia,” tambahnya.

Malaysian Tigress akan mengiringi Korea Selatan, China, Jepun, India, Kazakhstan, Thailand dan Singapura pada kejohanan yang berlangsung di Kakamigahara, Gifu, Jepun.

Recent Posts

Leave a Comment