Pemain ada dua minggu untuk rebut tempat ke Dhaka — Stephen

Skuad bimbingan Stephen van Huizen kembali menjalani latihan selepas tempoh rehat yang diberikan kepada pemain tamat dan kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan Hero Piala Asia 2017 yang akan berlangsung di Dhaka, Bangladesh pada 11 hingga 22 Oktober depan.

Selain mengumpulkan kembali 23 pemain kebangsaan, Stephen turut memanggil lima lagi nama baru untuk menjalani sesi latihan iaitu Muhammad Najib Abu Hassan, Mohamad Ashran Hamsani, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad, Norsyafiq Sumantri dan Muhamad Zaimi Mat Deris.

Jelas Stephen fokus utamanya adalah untuk membentuk kembali keserasian pemain selepas berehat panjang dan mahu pemain kembali berada pada tahap kecegasan yang terbaik bagi menghadapi Piala Asia 2017.

Stephen berkata: “Selepas berehat kami kembali menjalani latihan dan memberikan fokus kepada mengembalikan tahap kecergasan pemain selain untuk memastikan keserasian pasukan berada dalam keadaan yang terbaik.

“Saya mempunyai tempoh masa dua minggu untuk membentuk kembali pasukan selain memperbaiki kelemahan pasukan yang dapat saya lihat,” jelas Stephen ketika dihubungi.

Stephen turut menambah beliau memanggil lima pemain untuk menjalani latihan bersama 23 pemain yang sedia ada dan ia merupakan satu persaingan yang sihat bagi pemain-pemain di mana mereka perlu membuktikan kebolehan masing-masing untuk dipilih ke Dhaka.

“Saya memanggil Zaimi iaitu penjaga gol selain Najib, Ashran, Amirol dan Syafiq untuk menjalani latihan bersama 23 pemain yang lain. Ini adalah peluang terbaik untuk mereka membuktikan kebolehan dan merebut tempat untuk ke Piala Asia 2017.

“Dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini saya akan menggunakannya untuk menilai pemain-pemain yang akan menggalas tanggungjawab di Dhaka dan mereka perlu bersaing sesama sendiri bagi membuktikan kemampuan mereka untuk layak beraksi di sana,” tambah Stephen.

Skuad negara yang berada dalam kumpulan B akan memulakan kempen Piala Asia 2017 menentang China pada 12 Oktober selain Korea Selatan bakal menanti mereka pada 14 Oktober dan Oman lawan terakhir di peringkat kumpulan pada 16 Oktober 2017.

Recent Posts

Leave a Comment