TNB-1Mas Kejohanan Hoki B-14: Pahang, Sabah, mara ke Saingan Kumpulan X-Y

Selepas menamatkan tiga aksi di peringkat kumpulan A, perlawanan TNB-1Mas Kejohanan Hoki Kebangsaan Bawah 14 Tahun, juara bertahan bagi kategori lelaki, Pahang yang menewaskan Perlis 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini, menepati ramalan untuk melangkah ke saingan Kumpulan X-Y, sekaligus membuka laluan untuk mereka mempertahankan kejuaraan yang telah dimenangi tahun lalu.

Jaringan tunggal menerusi pukulan sudut penalti oleh Muhammad Fazril Lokman pada minit kesembilan menghadiahkan tiga mata berharga buat Pahang dan mengumpul keseluruhan sembilan mata selepas tiga perlawanan untuk menjadi pasukan pertama dalam kumpulan A melangkah ke saingan Kumpulan X-Y.

Pengendali Pahang, Mohd Sufian Mohamad, jelas bersyukur kerana sasaran pertama mereka iaitu untuk mara ke saingan kumpulan X-Y berjaya di capai dan anak-anak buahnya tidak perlu melalui jalan sukar iaitu wajib menang perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk memuktamatkan kemaraan mereka.

“Syukur Alhamdulillah kerana sasaran kami untuk beraksi di saingan Kumpulan X-Y berjaya dicapai dan saya lega kerana kami tidak perlu mengambil laluan sukar untuk melepasi ke saingan X-Y kerana kami akan bermain satu lagi perlawanan awal pagi esok.

“Apa yang perlu saya lakukan sekarang untuk tempoh dua hari ini adalah memberikan fokus kepada persaingan Kumpulan X-Y nanti dan perlawanan esok pagi mungkin saya akan memberikan peluang kepada pemain simpanan untuk beraksi lebih kerap dan merehatkan pemain utama,” jelas Sufian yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Selain Pahang, Sabah menjadi wakil pertama dalam Kumpulan C yang akan beraksi di saingan X-Y dan satu lagi slot masih terbuka buat Kuala Lumpur mahupun Negeri Sembilan untuk mengisinya.

Sabah mengesahkan laluan ke saingan X-Y selepas membenam cabaran Terengganu 3-6 menerusi empat jaringan pukulan sudut penalti masing-masing disumbangkan oleh Mohamad Syafiq Lamatta (m.6 dan 50), Muhammad Daniel Hakim Yusaini (m,8) dan Chyreal Harvie Ahinin (m29) sementara dua lagi jaringan menerusi pukulan penalti pada minit ke-35 oleh Muhammad Izaz Afdhaal dan Herryzolly Peter menyumbangkan jaringan padang pada minit ke-42.

Bagi aksi kumpulan B, Perak yang turun membuat perhitungan dengan Sarawak tidak mempunyai masalah untuk mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Sarawak 4-0. Kemenangan kedua yang dicatat oleh Perak juga telah meletakkan sebelah kaki mereka berada di saingan X-Y.

Satu lagi pasukan yang berada di dalam kumpulan B iaitu Johor yang turut berkongsi tujuh mata keseluruhan bersama Perak selepas menewaskan Singapura 1-0 perlu menunggu perhitungan dengan Selangor yang dijadualkan berlangsung esok bagi menentukan adakah mereka bakal layak melangkah ke saingan kumpulan X-Y atau sebaliknya kerana Selangor yang masih berbaki dua perlawanan dilihat mampu mencabar Johor untuk slot ke pusingan X-Y.

Keputusan perlawanan hari ini kategori lelaki:
Kumpulan A: Kelantan 3-0 Melaka dan Perlis 0-1 Pahang.
Kumpulan B: Sarawak 0-4 Perak dan Singapura 0-1 Johor.
Kumpulan C: Terengganu 3-6 Sabah dan Kedah 1-5 Kuala Lumpur.

Keputusan perlawanan hari ini kategori perempuan:
Kumpulan A: Pahang 3-0 Singapura dan Kedah 1-2 Terengganu.
Kumpulan B: Selangor 3-1 Sarawak dan Melaka 2-1 Johor.

Recent Posts

Leave a Comment