Piala TNB 2018: KLHC, UniKL Idam Piala TNB

Baik Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mahupun Universiti Kuala Lumpur (UniKL), kedua-duanya mempunyai matlamat yang jelas pada final Piala TNB esok.

KLHC di bawah bimbingan Lim Chiow Chuan pastinya mahu menebus kehampaan musim lalu selepas tewas kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT).

Manakala UniKL mempunyai hajat lebih besar untuk menjulang piala buat kali pertama sejak menyertai Liga Hoki Malaysia pada 2009.

Chiow Chuan sendiri mengakui barisan pemainnya akan berdepan tugas sukar apabila bertemu UniKL esok meskipun barisan pemainnya mempunyai pengalaman lebih luas berbanding lawan mereka itu.

Justeru itu, beliau menuntut anak buahnya supaya mempamer aksi lebih baik pada perlawanan esok selepas agak bergelut ketika menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di separuh akhir.

“Saya memang berasa agak kecewa kerana kerana kami mempunyai banyak peluang menerusi pukulan sudut penalti tetapi gagal menyempurnakannya.

“Tetapi TNB ketika itu juga bermain dengan baik terutama barisan pertahanan mereka.

“Apapun kami perlu kekal fokus kerana lawan yang ditemui pada aksi final nanti pastinya lebih sukar,” katanya.

Sementara itu ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj memikul tugas yang cukup berat untuk memastikan skuad bimbingannya itu meraih gelaran buat kali pertama.

“Melihat kepada statistik pertemuan dengan KLHC, memang kami tak pernah menewaskan mereka.

“Sebab itu saya mengharapkan statistik itu akan berubah pada aksi final nanti.

“Kami sudah melangkah sejauh ini dan pastinya tidak mahu mensia-siakan peluang terbaik untuk memenangi piala,” katanya.

 

Piala TNB

 

Esok

Penentuan 3/4

TNB lwn THT, 6 ptg

 

Final

KLHC lwn UniKL, 8.30 mlm

 

* Padang 2, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil

Recent Posts

Leave a Comment