Piala Presiden 2018: UITM-KPT, MBI, Kedah Hockey Team-NI dan Politeknik-KPT Tempah Slot Separuh Akhir

Keunggulan UITM-KPT yang membenam cabaran MBPJ Tigers 7-1 membuka laluan mereka ke saingan separuh akhir Piala Presiden 2018 dan akan bertemu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang turut menidakkan cabaran SSTMI apabila menewaskan lawan mereka itu 4-3.

Turut melangkah ke perlawanan separuh akhir ialah Kedah Hockey Team-NI yang cemerlang membelasah Penang Hockey Club 9-4 di mana mereka bakal bertemu Politeknik-KPT yang mengetepikan cabaran BJSS, 3-2

UITM berjaya untuk memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-22 menerusi jaringan padang Husaini Mohd Husin dan berselang seminit kemudian giliran Mohammad Aliff Mansor untuk memastikan UITM-KPT di hadapan

UITM-KPT terus menghasilkan dua lagi jaringan pada minit ke-27 dan 28 masing-masing menerusi jaringan padang Muhd Azwar Abd Rahman dan pukulan sudut penalti yang disempurnakan kapten pasukan Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar, sekaligus menamatkan aksi separuh masa pertama 4-0.

Enam minit selepas suku ketiga bermula, MBPJ Tigers berjaya untuk mendapatkan gol saguhati mereka menerusi jaringan padang Mohamad Syabil Aizam Mohamad Noor untuk mengubah kedudukan 4-1.

Minit ke-51 kapten pasukan UITM-KPT Nor Aqmal terus melebarkan sayap jaringan buat pasukannya menerusi gol kedua peribadi sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti dan dua minit kemudian Azhad Akmal Mohd Fahmi terus menambah derita MBPJ Tigers dengan jaringan keenam.

Nor Aqmal meledak hatrik pada aksi suku akhir apabila menjaringkan gol yang memutlakkan kemenangan buat UITM-KPT tiga minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir dan kedudukan 7-1 kekal hingga wisel penamat.

Sementara itu, MBI yang bakal membuat perhitungan dengan UITM-KPT pada aksi separuh akhir memusnahkan impian SSTMI apabila jaringan Muhammad Akmal Tajuddin beberapa saat sebelum wisel penamat ditiupkan menyentap harapan SSTMI untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out.

SSTMI bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-13 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Amirul Firdaus Shamsudin, namun kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila tiga minit kemudian Muhamad Hafizal Halmi meledak jaringan pertama buat MBI untuk mengikat kedudukan 1-1.

Minit ke-23 giliran MBI untuk berada di hadapan apabila Muhammad Akmal Tajuddin meledak gol menerusi jaringan padang dan seminit sebelum tamat aksi separuh masa pertama, SSTMI kembali mengikat kedudukan menerusi Mohammad Hanif Saad untuk menutup aksi separuh masa pertama dengan kedudukan 2-2.

MBI kembali berada di hadapan pada minit ke-45 selepas Muhamad Hafizal Halmi bijak untuk mencari jaringan menerusi gerakan padang.

Jaringan ketiga MBI tidak mematahkan semangat SSTMI apabila mereka terus menggandakan usaha dan ia nyata berhasil apabila mereka dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pada minti ke-56 dan Muhammad Sulaiman Abdul Razak tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan pukulan tersebut.

Seakan perlawanan bakal diheret hingga ke penentuan penalti shoot-out, Akmal Tajuddin muncul wira MBI apabila menjaringan gol keempat MBI beberapa saat sebelum wisel dibunyikan dan keputusan 4-3 membawa MBI ke separuh akhir.

 

Keputusan Suku Akhir Piala Presiden

UITM-KPT 7 MBPJ Tigers 1

SSTMI 3 MBI 4

Kedah Hockey Team-NI 9 Penang Hockey Club 4

Politeknik-KPT 3 BJSS 2

 

Piala Presiden

Separuh Akhir (22 Februari, Khamis)

 

UITM-KPT lwn MBI, 6 ptg

Kedah Hockey Team-NI lwn Politeknik-KPT, 8.30 mlm

 

**Perlawanan berlangsung di Stadium Hoki nasional Bukit Jalil, Padang 2.

Recent Posts

Leave a Comment