Sukan Komanwel 2018: Malaysian Tigress Akur Tewas 1-4 Kepada India

Skuad hoki wanita yang telah mempamerkan semangat melawan ketika bertemu India pada aksi pertama mereka di kempen Sukan Komanwel Gold Coast terpaksa akur tewas 1-4 kepada pasukan yang berada di ranking ke-10 dunia itu dalam aksi yang berlangsung hari ini di Pusat Hoki Gold Coast, Australia.

Malaysia yang berada di kedudukan ranking ke-22 dunia berjaya mencuri satu gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nuraini Rashid pada minit ke-38 yang juga merupakan jaringan penyamaan buat skuad negara.

Bagaimanapun India yang terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi Gurjit Kaur kembali bangkit dengan jaringan kedua mereka juga menerusi Gurjit yang menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum dua gol pada pada lima minit terakhir perlawanan menerusi jaringan padang Rani Rampal dan Lalremsiami memuktamatkan kemenangan 4-1 mereka.

Pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah yang dihubungi selepas tamat perlawanan memuji peningkatan permainan yang telah ditunjukkan oleh anak-anak buahnya jika dibandingkan ketika kali terakhir mereka bertemu India pada aksi Piala Asia Oktober tahun lalu selain memandang kemenangan bertemu Afrika Selatan esok penting bagi anak-anak buahnya untuk mengharungi saingan di Sukan Komanwel.

“Saya melihat kami bermain dengan lebih baik jika dibandingkan pertemuan kali terakhir dengan India ketika Piala Asia, bagaimanapun kami telah melepaskan dua gol pukulan sudut penalti dan kemudiannya membiarkan India terus menjaringkan dua lagi gol padang.

“Saya berharap semua pemain yang beraksi hari ini akan dapat bermain untuk perlawanan kedua menentang Afrika Selatan esok dan faktor kepenatan atau kecederaan tidak boleh menjejaskan perancangan kami untuk aksi esok.

“Oleh itu penting untuk pemain-pemain mendapatkan rehat dan melakukan sesi pemulihan sebaiknya sebelum turun beraksi esok.

“Selepas Wales berjaya mengutip tiga mata pada aksi bertemu India semalam, kami tiada pilihan lain selain menang ke atas Afrika Selatan dan kami akan berusaha sehabis baik untuk mendapatkan kemenangan tersebut,” ujarnya.

Malaysian Tigress yang masih lagi memburu kemenangan sulung akan turun pada perlawanan kedua esok bertemu dengan Afrika Selatan jam 5.30 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment