Sukan Komanwel 2018: Afrika Selatan Ikat Malaysian Tigress 1-1

Impian skuad wanita negara untuk meraih tiga mata pertama tidak berkesampaian apabila diikat Afrika Selatan 1-1 walaupun berjaya untuk mendahului lawan pada satu ketika dalam aksi Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang berlangsung hari ini di Pusat Hoki Gold Coast Australia.

Malaysian Tigress membuka tirai jaringan pada minit ke-38 menerusi jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nuraslinda Said, bagaimanapun kelebihan berada di hadapan tidak bertahan lama apabila Afrika Selatan menjaringkan gol penyamaan menerusi gol padang Jade Mayne pada minit ke-46.

Walaupun kedua-dua pasukan saling bertukar serangan dalam mencari gol kelebihan, namun kebuntuan untuk menambah sebarang gol menyaksikan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah menyifatkan masalah tertewas di babak terakhir perlawanan merupakan masalah yang sering dihadapi oleh anak-anak buahnya dan kekurangan kekuatan mental menyebabkan mereka yang sepatutnya mampu mencipta kemenangan tetapi tidak berjaya untuk melakukannya.

“Kami telah mempamerkan persembahan yang baik namun masalah yang sama selalu berulang iaitu kami tertewas pada detik-detik genting iaitu pada suku terakhir.

“Kami mampu untuk memenangi perlawanan hari ini tetapi kekurangan kekuatan mental nampaknya menidakkan kami untuk mengutip tiga mata,” jelasnya

Dharma juga mahu menggunakan rehat sehari yang mereka miliki untuk melakukan latihan secukupnya sebagai persediaan untuk menghadapi pasukan nombor dua dunia iaitu England.

“Kami akan menggunakan rehat esok untuk melakukan latihan set-piece bagi pukulan sudut penalti sebagai persediaan menghadapi England.

“England bukan calang-calang pasukan dan mereka berada di ranking kedua dunia jadi saya tidak mahu pemain terleka dengan keputusan seri yang diraih hari ini.

“Pertemuan seterusnya kami perlu bermain dengan cemerlang dan mengambil kira untuk tidak melepaskan gol yang banyak kerana perbezaan jaringan mungkin akan menjadi penentu pada penghujung aksi kumpulan nanti,” tambahnya lagi.

Esok Malaysian Tigress akan berehat sebelum turun pada Isnin (9. April) untuk membuat perhitungan dengan England pada jam 5.30 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment