Trofi Juara-Juara Asia: Malaysian Tigress Perbaiki Pencapaian Edisi Lalu

In MAIN

Skuad bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah berjaya untuk memperbaiki pencapaian di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2018 apabila menamatkan persaingan di kedudukan keempat selepas tewas 0-2 kepada China dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung di Stadium Sunrise, Donghae Korea Selatan, hari ini.

Edisi lalu menyaksikan skuad wanita menamatkan persaingan di kedudukan kelima (terakhir) dan kejayaan untuk memperbaiki kedudukan edisi kali ini nyata memberikan kepuasan kepada Dharmaraj kerana peningkatan yang telah ditunjukkan oleh anak-anak buahnya membuktikan mereka pasukan yang perlu diberi perhatian.

“Apabila kami berjaya untuk mengakhiri kejohanan dikedudukan keempat ia merupakan satu pencapaian yang bagus kerana ketika kami tiba menyertai kejohanan ini kebanyakan pasukan memandang kami sebagai pasukan terbawah.

“Memperolehi kedudukan keempat merupakan satu peningkatan daripada edisi lalu dimana kami menamatkan saingan di kedudukan terakhir dan secara keseluruhannya untuk saingan kali ini terutamanya bersaing dengan pasukan yang membawa skuad Piala Dunia mereka kecuali Jepun yang tidak menghantar pasukan utama saya merasakan skuad wanita sudah memberikan aksi yang terbaik,” jelas Dharmaraj ketika dihubungi.

China memperolehi dua jaringan pada minit ke-14 selepas Song Xiaoming menyempurnakan pukulan sudut penalti dan Song Xiaoming juga meledak gol kemenangan buat China pada minit ke-53 saat skuad negara kekurangan seorang pemain apabila Nur Amirah Shakirah Zulkifli dilayangkan kad kuning.

“China terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan dan saya merasakan skuad negara telah melakukan sehabis baik kerana pasukan China dapat meledak dua gol satunya menerusi set-pieces yang dirancang daripada pukulan sudut penalti.

“Penghujung perlawanan apabila skuad negara bermain dengan kekurangan seorang pemain kerana Amirah dilayangkan dengan kad kuning tidak dapat beraksi selama 10 minit China menambah satu lagi jaringan dan ketika itu saya merasakan agak susah untuk kami mencari gol kerana terpaksa bermain dengan kekurangan seorang pemain,” kata Dharma lagi.

Untuk rekod sepanjang kejohanan musim 2018 skuad negara menamatkan pusingan round robin dengan satu kemenangan dan tiga kekalahan selain tewas pada penentuan kedudukan tempat ketiga dan keempat.

Recent Posts

Leave a Comment