Kejohanan B-14: Perak lawan Johor, Melaka Bertemu Kuala Lumpur Di Pentas Final

Skuad lelaki Perak dan Johor serta skuad perempuan Melaka dan Kuala Lumpur akan membuat penampilan di pentas akhir Kejohanan Hoki TNB-KHM Bawah 14 Tahun Kebangsaan 2018 (lelaki dan perempuan) selepas keempat-empat pasukan muncul juara bagi kumpulan X dan Y.

Kejayaan Perak menewaskan Kuala Lumpur 2-0 bagi kategori lelaki pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan Y dan sekaligus membawa juara bertahan Perak untuk ke pentas final sekali lagi selain misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan masih berterusan.

Perak dan Kuala lumpur turun dengan misi yang sama iaitu mencari kemenangan untuk memastikan tempat mereka di pentas final dan juara bertahan, Perak berjaya untuk membuka tirai jaringan terlebih dahulu menerusi jaringan padang Mirza Hakim Mukhriz pada minit ke sembilan.

Minit ke-40, Perak terus melebarkan sayap kedudukan apabila kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki disudahkan dengan sebaik mungkin oleh Ammar Rusyaidi Mohd Zulkaflee untuk kedudukan 2-0 berpihak kepada Perak sehingga tamat perlawanan.

Dalam pada itu kejayaan Johor menewaskan Selangor 2-0 dalam aksi kumpulan X membawa Johor ke pentas akhir mengecewakan Sabah selepas kelebihan jaringan berpihak kepada Johor di mana kedua-dua pasukan itu berkongsi mata dalam kumpulan.

Dua gol yang terhasil pada perlawanan terakhir Johor menerusi jaringan pukulan sudut penalti dan gol padang Muhammad Haziq Zunnurain Mohd Azhary serta Ammar Qusyairi Abd Halim pada minit kelapan dan ke-10.

Kategori wanita pula menyaksikan Kuala Lumpur akan membuat perhitungan dengan Melaka di pentas akhir selepas Kuala Lumpur menewaskan Pahang 2-0 dalam aksi terakhir kumpulan Y hari ini dan sekaligus menyakiskan Kuala Lumpur gah mengungguli Kumpulan Y dengan enam mata keseluruhan menerusi dua kemenangan berturut-turut.

Sementara bagi kumpulan X, Kedah yang tewas 1-0 kepada Pulau Pinang dalam aksi terakhir Kumpulan X hari ini terpaksa berputih mata untuk melangkah ke pentas final dan Melaka yang menjuarai Kumpulan X dengan empat mata selepas meraih satu kemenangan dan satu seri.

Jadual Perlawanan Sabtu 15 Disember 2018

Kategori Perempuan

Tempat ketiga dan keempat: 1500, Pulau Pinang lwn Terengganu

Penentuan Juara: 1800, Melaka lwn Kuala Lumpur

 

Kategori Lelaki

Tempat ketiga dan keempat: 1630, Sabah lwn Kuala Lumpur

Penentuan Juara: 1930, Johor lwn Perak

 

** Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 1

Recent Posts

Leave a Comment