TNB LHM 2019: TNB Kekang Hasrat Maybank

In MAIN

Hasrat untuk melihat Maybank menjadi pengacau dalam aksi TNB Liga Hoki Malaysia 2019 saingan liga perdana disekat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas TNB mencatatkan kemenangan 7-1 yang juga merupakan kemenangan keempat mereka dalam saingan liga pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Aksi di suku pertama menyaksikan TNB dan Maybank saling melakukan serangan bagi mendapatkan gol awal dan kedua-dua pasukan menerima kelebihan pukulan sudut penalti namun masing-masing tidak berjaya menemui penyudahan yang sempurna.

TNB yang dilihat terus melakukan asakan ke kubu Maybank akhirnya membuka akaun jaringan mereka pada minit ke-10 selepas asakan yang dilakukan di dalam kawasan gol Maybank mengundang situasi kelam kabut dan Shazril Irwan Nazli bijak menggunakan kelebihan bola yang muntah dihadapannya untuk menolak masuk bola tersebut dan penjaga gol Maybank, Mohd Hanafi Hassan tertewas.

Dua lagi jaringan berjaya dihasilkan oleh TNB pada suku kedua bermula dengan kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki selepas salah seorang pemain TNB dikasari di dalam kawasan “25” dan Muhammad Arif Syafie Ishak meletakkan TNB di hadapan 2-0 pada minit ke-19.

TNB hampir menambah satu lagi gol ketika aksi satu lawan satu antara penjaga gol Maybank, Hanafi dan Shello Silverius namun kelebihan pintu gol yang telah terbuka luas gagal untuk digunakan oleh Shello namun ia tidak mematahkan semangat pemain TNB untuk terus mengejar jaringan kedua dan usaha mereka berhasil apabila menerusi satu gerakan padang yang dicipta berjaya disudahkan Firhan Ashaari untuk aksi separuh masa pertama berpihak TNB 3-0.

Minit ke-38, kedudukan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang berada di belakang penjaga gol Maybank menyaksikan dia yang tidak dikawal bijak menyambut bola hantaran rakan sepasukan dan keadaan pintu gol yang terbuka ketika Hanafi cuba menyekat pemain TNB di hadapannya digunakan sebaiknya oleh Azrai Aizad untuk menyumbang gol keempat TNB.

Berselang tiga minit kemudian, TNB yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti ketiga tidak melepaskan peluang tersebut untuk terus melebarkan sayap kedudukan menjadi 5-0 apabila Arif Syafie Ishak sekali lagi cemerlang menyempurnakan pukulan tersebut.

Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi mencatat nama selaku penjaring keenam pada minit ke-45 dan Maybank yang menerima pukulan sudut penalti kelima mereka pada minit ke-48 akhirnya membolosi gawang TNB selepas gerakan set-pieces yang diatur disudahkan Hafifihafiz Hanafi untuk kedudukan berubah 1-6.

Seakan belum puas dengan enam jaringan yang telah terhasil, TNB menambah satu lagi jaringan pada minit ke-58 menerusi Shello Silverius dan menutup pertemuan dengan Maybank dengan kemenangan bergaya 7-1.

Dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) cemerlang untuk meraih kemenangan ketiga dalam saingan liga apabila bangkit untuk menewaskan Nurinsafi/Kedah Hockey 3-1.

Nurinsafi membuka tirai jaringan terlebih dahulu pada minit kelapan menerusi gol padang Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi dan UniKL bangkit menyamakan kedudukan sepuluh minit kemudian hasil jaringan Robert Huib Kemperman juga menerusi gerakan padang.

Dua gol berturut-turut UniKL terhasil pada minit ke-49 selepas gerakan Muhammad Marhan Mohd Jalil dan Faridzul Afiq Mohd gagal dikekang barisan pertahanan dan penjaga gol untuk UniKL menutup aksi dengan tiga mata berpihak mereka.

Sementara pertemuan di antara Universiti Teknologi Mara (UITM) dan TNB Thunderbolts yang berlangsung di Stadium Hoki UITM menyaksikan tuan rumah berjaya menewaskan pasukan pelawat 2-1.

UITM berada di hadapan pada minit ke-13 menerusi jaringan padang Mohamad Izuan Azhar sebelum TNB Thunderbolts kembali mengikat kedudukan pada minit ke-25 menerusi jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhamad Aminudin Mohd Zain.

Minit ke-55 UITM dihadiahkan dengan pukulan stroke dan jaringan Fukuda Kentaro merentap impian TNB Thunderbolts untuk pulang sekurang-kurangnya dengan satu mata.

Recent Posts

Leave a Comment