FIH Siri Akhir Lelaki : Malaysia Diundi Dalam Kumpulan B

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) hari ini menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di dalam laman web rasmi mereka telah mengumumkan keputusan undian kumpulan bagi Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki, Kuala Lumpur 2019, yang menyaksikan skuad negara diletakkan dalam Kumpulan B bersama China, Itali dan Brazil.

Kejohanan yang akan membuka tirai pada 26 April hingga 4 Mei 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu juga menyaksikan penarikan diri daripada pasukan Vanuatu yang sepatutnya berada dalam Kumpulan A bersama Austria, Canada serta Wales dan FIH akan mengumumkan pasukan manakah yang akan menggantikan Vanuatu dalam masa terdekat.

Pengendali negara, Roelant Oltmans tidak mahu memandang rendah keupayaan pasukan lawan selain menjelaskan persediaan terbaik tentunya dilakukan oleh skuad negara untuk memastikan mereka berjaya menamatkan kejohanan di kedudukan dua terbaik.

“Dalam kejohanan seperti Siri Final kami tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan lawan dan tentunya kami akan melakukan persediaan yang terbaik terutamanya kami berada dalam kumpulan yang sama dengan China di mana kita sedia maklum China telah menunjukkan satu persembahan yang baik ketika di Piala Dunia 2018.

“Selain itu kami juga telah lama tidak bertemu dengan pasukan Itali dan Brazil jadi kami perlu mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai kedua-dua pasukan ini dan pastinya kami akan melakukan persediaan yang terbaik seperti mana kami lakukan ketika ke kejohanan-kejohanan sebelum ini.

“Paling penting kami perlu menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara kerana juara kumpulan tidak perlu melalui perlawanan suku akhir untuk merebut tempat di separuh akhir.

“Kejohanan ini menggunakan format yang sama seperti Piala Dunia baru-baru ini di mana pasukan di kedudukan kedua Kumpulan B akan bertemu pasukan di kedudukan ketiga Kumpulan A, begitu juga dengan pasukan di kedudukan ketiga kumpulan B, bagi menentukan pemenang yang akan beraksi di peringkat separuh akhir.

“Kami mahu melangkah ke separuh akhir kerana sasaran pertama kami pastinya untuk muncul selaku dua pasukan terbaik yang beraksi di final dan sasaran kedua sudah tentu mahu menamatkan kejohanan ini sebagai juara,” jelasnya ketika ditemui.

Berikut merupakan jadual perlawanan peringkat kumpulan yang melibatkan pasukan Malaysia di mana Malaysian Tigers akan turun beraksi pada jam 8.00 malam.

26 April: Malaysia lwn Brazil

28 April: China lwn Malaysia

29 April: Malaysia lwn Itali

Recent Posts

Leave a Comment