TNBLHRM 2019: MBPJ Tigers Pamer Peningkatan Daripada Tahun Lalu

In MAIN

Kemenangan 3-2 yang diraih MBPJ Tigers ke atas AHP-MSP Thunderbolts pada aksi terakhir saingan liga, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2019 yang berlangsung hari ini menyaksikan pasukan bimbingan Mohd Harfizi Baharom menamatkan saingan liga di kelompok empat pasukan terbaik.

Ia sekaligus menyaksikan mereka yang menamatkan saingan liga dikedudukan keenam pada tahun lalu berjaya menaiki dua anak tangga pada tahun ini dengan menutup kempen liga 2019 dikedudukan keempat apabila kelebihan mata yang dimiliki membantu mereka selepas terikat 26 mata bersama Anderson Thunderbolts yang terpaksa akur di kedudukan kelima.

Selepas tamat ke semua 13 perlawanan liga, SSTMI Thunderbolts muncul selaku juara dengan mengumpul mata penuh 39 mata diikuti BJSS Thunderbolts 32 mata dan AHP-MSP Thunderbolts di kedudukan ketiga dengan 30 mata.

Ketua Jurulatih MBPJ Tigers, Harfizi Baharom yang dihubungi selepas tamat pertemuan dengan AHP-MSP Thunderbolts, nyata bersyukur dengan kemenangan yang diraih hari ini di mana ianya sekaligus menyaksikan mereka memperbaharui rekod tahun lalu selain memuji semangat juang yang dipamerkan anak-anak buahnya sepanjang saingan liga.

“Syukur Alhamdulillah dengan kejayaan yang kami raih hari ini dan kami berjaya untuk berada di kelompok empat pasukan terbaik selain meneruskan perjuangan kami di saingan suku akhir Piala TNB.

“Tahun lalu kami mengakhiri saingan liga di kedudukan keenam dan tahun ini kami berjaya menunjukkan satu peningkatan yang baik apabila menamatkan saingan liga di kedudukan keempat.

“Pujian saya berikan kepada barisan pemain atas usaha keras mereka serta menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk mereka berada di tahap ini walaupun berdepan dengan jadual perlawanan yang padat serta perjalanan yang banyak ke laman lawan.

“Untuk aksi suku akhir nanti bagi saya ianya pasti satu perlawanan yang sengit dan apa yang saya harapkan daripada pemain-pemain, mereka dapat mengikuti semua susun atur taktikal dengan baik dan sentiasa bersemangat ketika di atas padang,” jelasnya.

Dalam pada itu juara bertahan, SSTMI Thunderbolts berjaya mempertahankan gelaran juara liga dan lebih manis apabila mereka mengekalkan rekod bersih menang ke semua 13 perlawanan dengan aksi terakhir hari ini menyaksikan mereka membelasah MSSPP-PSHA, 9-0.

 

Keputusan Perlawanan Hari ini (Rabu, 24 Julai)

SSTMI THUNDERBOLTS 9-0 MSSPP-PSHA

SABAH JR (PHS / SHA-SSMS) 1-1 MSNT-PHT-MSST

BJSS JR 2022 1-6 SMKDBL –UNIKL-PHJ-MSNJ

SSMS RESILIENT 5-2 MSN/SSN PHPs YOUNG LION

AHP-MSP THUNDERBOLTS 2-3 MBPJ TIGERS

SSTMI JUNIOR 2-1 KL –WIPERS

Recent Posts

Leave a Comment