Malaysia Dan England Terikat Seri

Perlawanan terakhir bagi Kejohanan Jemputan Empat Negara yang berlangsung di Terrassa Sepanyol menyaksikan Malaysian Tigers diikat 3-3 oleh England pada perlawanan terakhir yang berlangsung hari ini.

Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan kejohanan jemputan tersebut di kedudukan teratas dengan tujuh mata selain merekodkan dua kemenangan ketika bertemu tuan rumah Sepanyol dan Ireland serta terbaru keputusan seri dengan England.

Pada pertemuan dengan England, Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit ketiga apabila pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim menyempurnakan kelebihan tersebut sebelum satu lagi pukulan sudut penalti disudahkan oleh Mohd Fitri Saari pada minit kesembilan untuk skuad negara dihadapan 2-0.

England bagaimanapun berjaya untuk merapatkan kedudukan pada suku kedua apabila giliran mereka menerima pukulan sudut penalti dan Sam Ward berjaya mengubah kedudukan 1-2 pada minit ke-24.

Bersambung suku ketiga, England memperolehi jaringan penyamaan pada minit ke-34 selepas Christopher Griffiths meledak gol menerusi jaringan padang.

Skuad negara kembali berada di hadapan pada suku terakhir apabila giliran Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil untuk menyumbang gol menerusi gerakan padang pada minit ke-54 namun berselang tiga minit kemudian, England kembali mengikat kedudukan apabila kelebihan pukulan sudut penalti disudahkan oleh Phil Roper untuk kedudukan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Situasi terpaksa bermain dengan sembilan pemain padang sementara pasukan lawan menggeluarkan penjaga gol untuk mempunyai kelebihan seorang pemain sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan dan itu antara pandangan yang diberikan oleh pengendali negara Roelant Oltmans.

Roelant berkata: “Perlawanan sedikit terganggu dengan layangan kad kuning dan selepas kami menerima kad kuning tersebut England mengeluarkan penjaga gol mereka jadi kami terpaksa bermain dengan sembilan pemain sementara England dengan 11 pemain padang.

“Kami menjaringkan gol terlebih dahulu selepas layangan kad tersebut tetapi tidak berjaya untuk mempertahankan kelebihan jaringan itu.

“Secara keseluruhan ini merupakan satu keputusan yang baik apabila bertemu dengan pasukan yang beraksi di separuh akhir Pro League baru-baru ini dan kami juga mempunyai peratus menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti yang tinggi iaitu 67 peratus,” jelasnya ketika dihubungi.

Malaysian Tigers akan meneruskan aksi ujian mereka bertemu pasukan Belanda pada Selasa jam 8.30 malam waktu Malaysia.

Recent Posts
Comments
  • SYUFAAT KAMARON
    Reply

    TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA THE MALAYSIAN TIGERS DAN MALAYSIAN HOCKEY FEDERATION DI ATAS PENCAPAIAN CEMERLANG DI PENTAS EROPAH. SAYA MENGIKUTI PERKEMBANGAN PASUKAN SEJAK 40 TAHUN DAHULU. TERUSKAN KOMITED, SEMUGA INSHA ALLAH PASUKAN MALAYSIA AKAN MENEMPAH SLOT KE OLIMPIK 2020 DAN SEMUGA RANKING KITA MELONJAK KE TOP-10 DUNIA HOKI. CUMA PASTIKAN, PASUKAN TIDAK HILANG FOKUS DAN KONSENTRASI DI SAAT2 AKHIR PERLAWANAN2 PENTING SEPERTI YANG BERLAKU DI SUKAN ASIA LEPAS DAN HOKI SIRI AKHIR 2019…KITA HILANG HAMPIR 200 POINT RANKING DAN TERLEPAS SLOT AUTOMATIK KE OLIMPIK 2020. POHON MHF UNTUK TERUSKAN USAHA SUPAYA KITA BOLEH LAYAK KE SUKAN OLIMPIK, PIALA DUNIA, TROPHY JUARA2 DAN KEJOHANAN2 PENTING LAIN.

Leave a Comment