Aksi Malaysian Tigers Di Tokyo Berakhir

In MAIN

Perlawanan penentuan bagi kedudukan ketiga dan keempat Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 “Ready Steady Tokyo Hockey Test Event” yang menemukan skuad negara dan tuan rumah di Stadium Hoki Oi, Tokyo berkesudahan dengan Malaysian Tigers tewas 1-6 kepada Jepun.

Malaysia yang beraksi dengan baik pada separuh masa pertama berjaya membuka tirai jaringan beberapa saat sebelum wisel separuh masa dibunyikan hasil gol padang yang diledak oleh Muhammad Shahril Saabah.

Namun segalanya serba berubah pada separuh masa kedua apabia Jepun bangkit dengan menjaringkan enam gol untuk sekaligus meraih tempat ketiga bagi kejohanan ujian tersebut.

Bermula dengan gol penalti stroke yang disempurnakan oleh Hirotaka Zendana dua minit selepas aksi suku ketiga bermula, Yoshiki Kirishita menggandakan jaringan tujuh minit kemudian selepas menyempurnakan kelebihan pukulan sudut penalti sebelum Kenta Tanaka meledak gol ketiga hasil gerakan padang pada minit ke-43.

Berselang seminit kemudian, Jepun yang sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti menggunakan kelebihan tersebut untuk melebarkan jurang jaringan menerusi Kota Watanabe dan beberapa saat sebelum wisel dibunyikan untuk aksi suku ketiga berakhir, Yoshiki Kirishita sekali lagi mencatat nama selaku penjaring juga hasil daripada pukulan sudut penalti.

Empat minit sebelum perlawanan sebenar tamat, Jepun yang terus dihadiahkan dengan pukulan sudut menterjemahkan kelebihan tersebut kepada jaringan dan gol Hirotaka Zendana menutup perlawanan dengan kemenangan 6-1 buat negara matahari terbit itu.

Pengendali negara, Roelant Oltmans menjelaskan pasukannya berjaya mempersembahkan satu perlawanan yang terbaik sepanjang kejohanan pada separuh masa pertama namun sebalinya berlaku selepas mereka dibolosi dua gol.

“Hari ini kami bermain dengan dua watak yang cukup berbeza di mana aksi separuh masa pertama adalah persembahan yang terbaik kami sepanjang kejohanan.

“Suku ketiga juga pemain bermain dengan baik tetapi selepas kami melepaskan dua gol, persembahan pasukan berubah menjadi sebaliknya serta berlakunya beberapa kesilapan individu,” jelasnya.

Skuad negara dijangkan tiba di tanah air pada Jumaat, 23 Ogos jam 7.00 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan berehat sebelum pasukan kembali menjalani latihan pada Selasa, 3 September 2019.

Recent Posts

Leave a Comment