Malaysia Tamatkan Rentak Kemenangan Great Britain

In MAIN

Kemenangan akhirnya berjaya dilakar skuad remaja bawah 21 tahun negara pada kejohanan Piala Sultan Johor 2019 apabila mengatasi Great Britain dalam perlawanan keempat yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru pada Rabu.

Selepas dikejutkan dengan kekalahan besar 0-6 kepada New Zealand, tiada pilihan buat skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin melainkan kemenangan ke atas Great Britain yang berada di kemuncak prestasi susulan tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.

Manakala Great Britain turut memburu kemenangan untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir sekaligus semakin mendekati misi mempertahankan gelaran.

Malaysia bagaimanapun tampil dengan aksi lebih kemas serta corak permainan tersusun dalam pertemuan ini di samping mengelakkan daripada membuat kesilapan mudah.

Kebuntuan jaringan bagaimanapun hanya terlerai dalam suku terakhir permainan apabila Muhammad Muhibuddin Moharam memanfaatkan peluang menerusi pukulan sudut penalti bagi meletakkan tuan rumah di depan.

Nyata jaringan itu sudah memadai buat Malaysia untuk raih kemenangan sulung dalam kempen kali ini sekaligus mencerahkan kembali peluang untuk memburu kedudukan podium dengan aksi terakhir menentang Jepun pada Jumaat bakal menjadi penentu.

“Kami bertahan dengan lebih baik dalam perlawanan ini, hanya satu jaringan menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan.

“Beberapa peluang turut diperoleh oleh pemain tetapi tidak dapat disempurnakan, kami amat menantikan pertemuan berikutnya berdepan Jepun dan harap rentak ini dapat diteruskan,” jelas Nor Saiful.

Terdahulu India kembali menemui semula momentum kemenangan selepas membelasah Australia 5-1 dengan Shilanand Lakra memperoleh dua jaringan.

Satu lagi pertemuan menyaksikan Jepun bangkit daripada ketinggalan sebelum mengatasi New Zealand menerusi keputusan 4-2.

Recent Posts

Leave a Comment