Sedia Sahut Cabaran Memburu Pingat Emas

Skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara sedia menyahut cabaran untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA di Filipina yang akan membuka tirai hujung bulan ini.

Selepas acara hoki padang tidak dipertandingkan, tumpuan sudah pasti kepada kedua-dua pasukan ini bagi membutirkan pingat kepada kontinjen negara.

Edisi 2017 di Kuala Lumpur menyaksikan skuad lelaki negara peroleh pingat emas manakala skuad wanita terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas atasi Singapura dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Lantas misi lebih mencabar kali ini dengan sasaran emas diletakkan kepada kedua-dua pasukan pada edisi kali ini.

Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal mengadakan tinjauan terhadap sesi latihan dan persiapan kedua-dua pasukan di Kompleks Sukan MSN, Jalan Raja Muda di Kuala Lumpur pada Selasa.

Kunjungan Dato’ Sri Subahan membolehkan beliau mendapat gambaran lebih terperinci mengenai persiapan yang sedang diharungi selain memberikan kata-kata semangat kepada pemain supaya misi mencapai dua pingat emas dapat dilaksanakan.

“Ini memang menjadi kebiasaan buat kami untuk meninjau persiapan mereka khususnya tumpuan diberikan kepada Sukan SEA, mereka menjadi harapan negara dan kami perlu pastikan sasaran dua emas terlaksana.

“Saya mengingatkan kepada pemain supaya jangan leka, berlatih dengan gigih dan saya yakin ia mampu dilaksanakan. Saya hadir untuk mengetahui bagaimana kebajikan serta keadaan mereka sepanjang berlatih di sini,” jelas Dato’ Sri Subahan.

Dalam pada itu, jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara, Amin Rahim percaya dengan kemampuan pasukan kendaliannya dalam misi pertahan pingat emas di Filipina nanti.

Ketika ini mereka sedang mengadakan siri perlawanan persahabatan menentang Institut Sukan Australia Barat (WAIS) sebagai antara persiapan ke Sukan SEA.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Subahan kerana hadir menyaksikan sesi latihan dan persiapan kami dan ketika ini sedang mengharungi siri perlawanan persahabatan menentang WAIS.

“Rata-rata pemain menunjukkan komitmen yang terbaik serta tahap motivasi mereka juga amat tinggi dan saya harap kami sekali lagi dapat butirkan pingat emas di Sukan SEA nanti,” ujar Amin.

Pandangan sama turut disuarakan jurulatih skuad dalam dewan wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah.

Susulan kejayaan menjuarai kejohanan antarabangsa Piala Tuanku Zara awal bulan ini, Dharma menaruh keyakinan supaya momentum itu dapat diteruskan di Filipina nanti.

“Menerusi kehadiran Dato’ Sri Subahan, beliau memberikan semangat dan cuba untuk menyelesaikan apa juga permasalahan yang dihadapi skuad wanita supaya kita dapat ke Sukan SEA dalam keadaan terbaik.

“Beliau turut tingkatkan motivasi pemain selain memberitahu kepada mereka betapa pentingnya pingat emas dapat dibutirkan oleh skuad wanita.”

Recent Posts

Leave a Comment