Kecederaan Sisihkan Hanis Buat Beberapa Minggu

Peluang buat pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn untuk membantu skuad dalam dewan di pentas Sukan SEA di Filipina nanti belum pasti selepas dia dilanda kecederaan pergelangan kaki kanan.

Kecederaan itu dialami Hanis sewaktu sesi latihan skuad negara kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah di Kompleks Sukan MSN Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada Selasa.

Lantaran itu dia dibawa pengurus pasukan, Lailin Abu Hassan untuk pemeriksaan lanjut di Institut Sukan Negara (ISN).

“Selepas melihat kepada imbasan X-ray, doktor mengesahkan terdapat ligament yang terkoyak di pergelangan kaki kanan Hanis dan ia agak serius.

“Hanis memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu untuk pulih dan saya akan berbincang bersama jurulatih Dharma Raj mengenai peluangnya untuk ke Sukan SEA,” jelas Lailin.

Skuad hoki dalam dewan wanita negara diletakkan sasaran untuk meraih pingat emas pada temasya dwi-tahunan itu selepas memperoleh gangsa pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Hanis sebelum ini turut mengalami keretakan pergelangan tangan kiri ketika beraksi dalam Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland, Jun lalu.

Pemain berusia 23 tahun ini juga pernah beraksi dalam Bundesliga 1 Jerman bersama-sama Wan Norfaeizah Sauti dan Raja Norsharina Raja Shahabuddin, mewakili pasukan Wespen Zenlendorfer.

Recent Posts

Leave a Comment