Peluang Atasi Kelemahan Sebelum Sukan SEA

Skuad hoki lelaki dalam dewan negara meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut selepas atasi Institut Sukan Australia Barat (WAIS) menerusi keputusan 5-2 dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan MSN Jalan Raja Muda pada Rabu.

Di sebalik kemenangan ini, jurulatih negara, Amin Rahim masih meneliti sebarang kelemahan yang perlu diatasi dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Filipina yang akan membuka tirainya hujung November ini.

Perlawanan ketiga ini menyaksikan kombinasi berbeza dipertaruhkan Amin susulan kemenangan 5-1 dan 6-4 yang dicatat dalam dua aksi sebelum ini.

Nyata dia amat berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan namun percaya beberapa percaturan strategi masih perlu diuji sebelum mereka benar-benar bersedia untuk ke Sukan SEA.

“Kita sudah memenangi tiga perlawanan dengan WAIS, setiap perlawanan ada peningkatan dan itu satu petanda yang baik walaupun ada beberapa bahagian yang perlu kita perbetulkan sebelum ke Sukan SEA nanti.

“Baki dua perlawanan lagi kita akan mencuba beberapa pergerakan taktikal berbeza dan ini saya percaya amat kritikal sekiranya kita ingin atasi dua pencabar di Sukan SEA nanti iaitu Thailand serta Indonesia,” jelas Amin.

Dalam pada itu, ketua pasukan negara, Mohd Hanip Che Halim turut menyuarakan pandangan yang sama dengan beberapa aspek lagi masih diperlukan bagi memperkemaskan rentak permainan skuad negara.

“Perlawanan hari ini memang ada peningkatan berbanding dua aksi sebelum ini, beberapa kesilapan asas khususnya sewaktu bertahan berjaya kami atasi.

“Namun masih ada beberapa kelemahan lain perlu diberikan tumpuan terutamanya penambahan daripada segi pergerakan ke atas yang perlu ditingkatkan.”

Recent Posts

Leave a Comment