Skuad Negara Lengkapkan Siri Aksi Persahabatan Dengan Kemenangan

Persiapan skuad hoki dalam dewan lelaki negara semakin rancak apabila melengkapkan siri lima perlawanan persahabatan menentang Institut Sukan Australia Barat (WAIS) dengan kemenangan 8-2 dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan MSN, Jalan Raja Muda pada Jumaat.

Ini merupakan perlawanan ujian terakhir buat skuad kendalian Amin Rahim di mana baki tempoh dua minggu lagi akan digunakan sepenuhnya untuk sesi latihan.

Acara hoki dalam dewan di Sukan SEA Filipina akan membuka tirainya pada 4 Disember dan Amin kekal dengan keyakinan skuad negara di landasan tepat bagi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2017 Kuala Lumpur.

Nyata lima siri perlawanan menentang WAIS menepati apa yang dimahukan oleh Amin iaitu mengenalpasti kelemahan serta menyusun percaturan taktikal yang sesuai di Filipina nanti.

“Kami masih lagi akan meneruskan latihan seperti biasa dalam tempoh dua minggu ini sebelum bertolak ke Manila dan dalam tempoh yang ada kita pastikan pemain kekal konsisten.

“Pertemuan menentang WAIS juga memberi peluang untuk kami menguji keserasian di kalangan pemain dan ada beberapa pemain perlu lebih agresif serta mempertajamkan lagi sentuhan penyudah mereka,” jelas Amin.

Dalam pada itu, pemain negara, Najmi Farizal Jazlan sedar mengenai tekanan terhadap pasukan ini untuk pertahankan pingat emas Sukan SEA walaupun dijangka dapat mengulangi pencapaian berkenaan di Filipina nanti.

“Kami merupakan juara bertahan bagi acara ini dan tekanan sudah semestinya dapat dirasai. Kami telah berusaha untuk mengatasi segala kelemahan termasuk beberapa perkara kecil yang dapat menggugat corak permainan pasukan.”

Recent Posts

Leave a Comment