Kejohanan Veteran Kebangsaan: Permulaan Baik Buat 3 Pasukan

Pasukan Johor, Terengganu & Pahang masing-masing memulakan cabaran pada Kejohanan Veteran Kebangsaan 2019 menerusi kemenangan berganda dalam aksi peringkat kumpulan yang membuka tirainya pada Jumaat.

Kemenangan itu meletakkan mereka dalam kedudukan selesa untuk memburu tempat ke separuh akhir dalam saingan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Johor yang ditempatkan dalam kumpulan A memperoleh kemenangan ke atas Perlis serta PDRM untuk mengumpul mata maksimum. Pada aksi sebelah pagi, Johor mengatasi tentangan Perlis menerusi keputusan 2-0 dan rentak itu diteruskan pada aksi berikutnya dengan mengatasi tentangan hebat PDRM untuk peroleh kemenangan 3-2.

Manakala buat Perlis, malang buat mereka apabila dibelasah juara bertahan, Perak dengan keputusan 6-0 pada aksi di sebelah petang.

Saingan kumpulan B pula menyaksikan ATM membuka kempen menerusi kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan hasil jaringan Lt. Kol. Zulmadi Ariffin dan Mohammad Fazli Hussin.

Pasukan kendalian Garmit Singh itu bagaimanapun tidak dapat mengekalkan momentum berkenaan apabila kecundang 0-1 kepada Pahang dalam aksi berikutnya menerusi jaringan tunggal Lam Mun Fatt.

Pahang terdahulu mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kelantan, dibantu dengan jaringan oleh Sunil Prasad Eyamo & Thevadas Manaiam.

Perlawanan lain dalam kumpulan B menyaksikan Terengganu mengatasi Selangor 3-0 dalam aksi sebelah pagi hasil jaringan Ahmad Azuan Syahrill Azahash, Chairil Anwar Abd Aziz serta Zanusi Ab Latif.

Mereka kemudian memastikan mata maksimum diraih apabila peroleh satu lagi kemenangan apabila membelasah Kelantan 6-0 dengan Ahmad Azuan meledak dua jaringan.

Recent Posts

Leave a Comment