Kuala Lumpur & Pahang Kekalkan Rentak Kemenangan

Persaingan dalam Kejohanan Veteran Kebangsaan 2019 semakin hebat pada hari kedua apabila Kuala Lumpur serta Pahang menjadi pasukan yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kumpulan masing-masing.

Ia sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan kini mengumpul mata maksimum dengan Kuala Lumpur menerajui kumpulan A manakala Pahang selesa menguasai kumpulan B selain mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pasukan Kuala Lumpur mencatat kemenangan 2-1 ke atas Johor dalam aksi yang berlangsung sebelah pagi.

Momentum kemenangan itu kemudian diteruskan apabila mereka menewaskan juara bertahan, Perak dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Ng Chee Heung serta Kulvinder Singh.

Perlawanan lain dalam kumpulan A menyaksikan Perak mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM dalam aksi sebelah pagi dengan PDRM bangkit melupakan kekecewaan itu untuk mengatasi Perlis dengan keputusan 2-1 pada aksi berikutnya.

Perak dan Johor bakal melengkapkan aksi kumpulan A pada Ahad sekaligus memburu satu lagi slot untuk mengiringi Kuala Lumpur ke separuh akhir.

Beralih ke kumpulan B, penguasaan yang ditampilkan Pahang terus menjadi apabila mereka membelasah Negeri Sembilan 6-1 pada aksi sebelah pagi.

Pasukan kendalian Mohd Yazid itu memperoleh kemenangan keempat mereka dalam kempen kali ini apabila mengatasi tentangan Selangor 3-1 untuk 12 mata maksimum sekaligus menempatkan mereka di separuh akhir.

Turut selesa adalah pasukan Terengganu yang pada mulanya terpaksa berpuas hati dengan 1 mata selepas terikat 1-1 menentang ATM.

Begitupun mereka kembali menemui rentak kemenangan pada aksi berikutnya, menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 2-0.

Perlawanan lain menyaksikan Kelantan mencatat kemenangan 2-0 ke atas ATM hasil jaringan Mohd Nazran Hussin serta Che Rosmadi Che Hussin.

Recent Posts

Leave a Comment