Juara Bertahan Teruskan Kemaraan

Pasukan Perak mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Veteran Kebangsaan 2019 selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Johor dalam aksi terakhir kumpulan A di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Reputasi selaku juara bertahan sedikit beri tekanan buat Perak kerana memerlukan kemenangan berikutan mempunyai jumlah mata yang sama dengan Johor selepas tiga perlawanan.

Perak punyai permulaan baik apabila jaringan berganda Kerpal Singh Sarmokh Singh meletakkan mereka selesa mendahului 2-0.

Begitupun Johor bangkit memberikan tentangan dan jaringan padang Khairuddin Mohd Ghani pada minit ke-16 merapatkan kedudukan.

Mark Anthony Paul bagaimanapun mengesahkan kemenangan buat Perak apabila menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-28.

Perak mara selaku naib juara kumpulan A dengan 9 mata, mengiringi Kuala Lumpur yang telah mengesahkan kemaraan pada Sabtu.

Satu lagi perlawanan kumpulan A menyaksikan Kuala Lumpur terikat tanpa jaringan menentang Perlis.

Manakala dalam saingan kumpulan B, Pahang mengekalkan rekod seratus peratus kemenangan apabila menewaskan Terengganu 2-0, sekaligus kemenangan kelima berturut-turut untuk muncul juara kumpulan.

Keputusan itu bagaimanapun tidak menggugat Terengganu yang mara ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan.

Perlawanan lain bagi kumpulan B menyaksikan Selangor dan ATM berkongsi mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 diikuti Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

Recent Posts

Leave a Comment