Pahang Ungguli Kejohanan Veteran Kebangsaan 2019

Pasukan Pahang mengekalkan rekod tanpa kalah untuk bergelar juara Kejohanan Hoki Veteran Kebangsaan 2019 selepas ketepikan tentangan hebat Terengganu menerusi penentuan shoot-out dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Ahad.

Selepas cemerlang raih semua lima kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan, Pahang mengatasi cabaran juara bertahan, Perak, juga menerusi shoot-out 4-2 untuk mara ke final.

Lawan mereka di final merupakan finalis tahun lalu, Terengganu yang kecewakan impian Kuala Lumpur menerusi penentuan shoot-out 9-8 selepas perlawanan sebelum itu terikat dengan keputusan 1-1.

Keyakinan lebih memihak kepada Pahang dalam pertemuan di final ini apabila mengatasi Terengganu dalam saingan peringkat kumpulan.

Begitupun Terengganu mempamerkan corak permainan lebih baik untuk memberi saingan kepada Pahang dan perlawanan tamat dengan keputusan tanpa jaringan, sekaligus memaksa pemenang ditentukan dengan pukulan shoot-out.

Ketangkasan penjaga gol Pahang, Izwan Suhardi Selamat menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan apabila menyelamatkan dua pukulan pemain lawan selain satu lagi pukulan tidak tepat ke sasaran.

Sekaligus menyaksikan Pahang muncul juara bagi edisi kali ini selepas menduduki tempat ketiga pada edisi 2018.

Manakala perlawanan bagi kedudukan ketiga dan keempat pula menyaksikan Perak mengatasi tentangan Kuala Lumpur dengan keputusan shoot-out 4-3.

Recent Posts

Leave a Comment