Pemain Kemukakan Pandangan Kepada KHM Dalam Sesi Penilaian

In MAIN

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) komited dalam memastikan kemajuan skuad hoki negara dapat diteruskan dengan beberapa penambahbaikan dijangka bakal dilakukan.

Ia susulan daripada Sesi Penilaian Skuad Kebangsaan Lelaki dan Wanita bagi tempoh empat tahun (2016-2019) yang berlangsung di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil pada Selasa.

Selain itu, sesi berkenaan turut bertujuan mengenalpasti punca kegagalan Malaysia untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal menerajui barisan 18 panelis lain yang dibarisi ahli Lembaga Eksekutif KHM di samping beberapa pemegang taruh utama industri sukan tanah air, antaranya Majlis Sukan Negara (MSN), ISN serta wakil daripada media.

Sesi ini menyaksikan beberapa pemain daripada skuad lelaki dan wanita negara dipanggil untuk memberikan pandangan secara individu bersama barisan panelis.

Antara pemain yang dipanggil untuk memberikan pandangan adalah Siti Noor Amarina Ruhani, Farah Ayuni Yahya, & Hanis Nadiah Onn (skuad wanita) serta Mohamad Sukri Abdul Mutalib, S. Kumar, Faizal Saari & Muhammad Marhan Mohd Jalil & Muhammad Razie Abdul Rahim (skuad lelaki).

“Kami mendapatkan pandangan daripada pemain-pemain khususnya pemain senior, perjumpaan ini dibuat kerana kami mahukan input hati ke hati daripada mereka tanpa ada berselindung dan sebagainya.

“Saya percaya kami banyak mendapat input yang boleh digunapakai dan kita akan membuat rumusan dalam tempoh terdekat demi impak positif kepada kemajuan pasukan akan datang,” jelas Dato’ Sri Subahan Kamal.

Dato’ Sri Subahan turut menambah hasil daripada sesi ini akan dikumpulkan bersama dengan laporan daripada jurulatih dan pasukan sokongan sebelum laporan penuh akan dibentangkan kepada Menteri Belia dan Sukan.

“Kami jangkakan tempoh sebulan untuk laporan penuh kerana kami masih memerlukan laporan daripada jurulatih dan beberapa kajian yang kami lakukan sendiri.

“Kami turut mengadakan perjumpaan bersama MSN, ISN, pasukan sokongan dan hasil daripada kajian ini dikumpulkan dalam satu laporan penuh yang akan dibentangkan kepada Menteri,” tambah Dato’ Sri Subahan Kamal lagi.

Recent Posts

Leave a Comment