Wallace Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki, Lailin Kendali Skuad Remaja Wanita Kebangsaan

In MAIN

Satu kata sepakat berjaya dicapai oleh Jawatankuasa Kejurulatihan yang diterajui oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato Sri Subahan Kamal mengenai teka teki siapakah yang akan mengendalikan Skuad Remaja Lelaki dan Wanita Kebangsaan di mana Wallace Tan dilantik selaku Ketua Jurulatih Skuad Lelaki sementara Skuad Wanita akan dipimpin oleh Lailin Abu Hassan.

Keputusan tersebut diputuskan selepas Jawatankuasa Kejurulatihan KHM bermesyuarat untuk kali pertama hari ini di Bilik Mesyuarat KHM dengan mengambil kira kekangan masa yang dialami apabila pasukan Lelaki dan Wanita Remaja negara akan berdepan misi penting iaitu untuk merebut tiket ke Piala Dunia Remaja 2021.

Slot tersebut akan ditawarkan menerusi Kejohanan Piala Remaja Asia Wanita di Kakamigahara Jepun yang akan berlangsung pada 6 hingga 12 April sementara Piala Remaja Asia Lelaki di Dhaka Bangladesh pada 4 hingga 12 Jun.

Wallace Tan akan dibantu oleh Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang bertindak selaku Pengurus Pasukan serta Penolong Jurulatih bersama Megat Azrafiq Termizi yang akan turut memainkan peranan selaku Penolong Jurulatih selain Nasihin Nubli akan menggalas tanggungjawab selaku Penolong Jurulatih bagi Penjaga gol.

Sementara Lailin Abu Hassan pula akan dibantu oleh bekas pertahanan kebangsaan, Siti Rahmah Othman selaku Penolong Jurulatih dan Roslan Jamaluddin akan bertindak sebagai Penolong Jurulatih bagi Penjaga Gol.

Dato’ Sri Subahan Kamal yang ditemui selepas tamat mesyuarat tersebut menegaskan pemilihan Wallace dan Lailin adalah berdasarkan pengalaman yang dimiliki mereka di mana Wallace sebelum ini berjaya membawa Skuad Remaja Hoki 5’s Lelaki negara muncul pemenang pingat emas buat kali pertama di Sukan Olimpik Remaja 2018 Argentina sementara Lailin dipilih berdasarkan pengalamannya bersama Skuad Senior Wanita dan pernah menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih Skuad Remaja Wanita.

“Oleh kerana kami kesuntukan masa untuk mengiklankan jawatan bagi Jurulatih Skuad Remaja Lelaki dan Wanita, maka kami telah membuat satu ketetapan dalam mesyuarat sebentar tadi untuk melantik Lailin Abu Hassan bagi mengendalikan Skuad Remaja Wanita.

“Lantikan ini berkuatkuasa serta merta dan pemilihan Lailin adalah kerana pengalaman beliau sebelum ini bersama Skuad Wanita Kebangsaan juga pernah menjadi Ketua Jurulatih bagi Skuad Remaja Wanita.

“Kami juga telah membuat keputusan untuk melantik Wallace Tan sebagai Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan berkuatkuasa serta merta.

“Beliau akan berganding bersama Norsaiful Zaini di mana NorSaiful kini masih membawa pasukan Remaja Lelaki tetapi kami mahu mengandingkannya dengan Wallace untuk memantapkan lagi pasukan bersama barisan pemain yang akan dipilih.

“Dalam mesyuarat tadi juga kami telah menetapkan bahawa jawatan ini akan turut dibuka untuk dipohon tetapi oleh kerana kesuntukan masa untuk mempersiapkan pasukan remaja lelaki dan wanita, seperti pasukan remaja wanita mempunyai dua bulan untuk bersedia kami membuat keputusan untuk memilih seseorang yang pernah bersama pasukan dan mengenali pemain-pemain untuk menyelesaikan tugas ini.

“Situasi yang sama juga untuk skuad remaja lelaki di mana kini TNB Liga Hoki Malaysia sedang berlangsung, dan pemain hanya dapat dikumpulkan sepenuhnya pada bulan tiga nanti jadi tempoh persiapan tiga bulan adalah satu tempoh yang singkat,” jelas Dato Sri Subahan.

Dalam perkembangan yang sama, Dato Sri Subahan turut menambah jawatan bagi Ketua Jurulatih Skuad Senior Wanita akan dibuka pada Jumaat ini dan berharap Jurulatih Skuad Wanita sebelum ini akan turut memohon jawatan itu kembali, sambil menegaskan tindakan membuka pemohonan bagi jawatan tersebut adalah untuk memberi peluang kepada sesiapa yang layak dan KHM akan mempunyai pola pemilihan yang lebih besar.

Sementara itu tiada perubahan bagi jawatan Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan dengan Roelant Oltmans yang masih mempunyai baki kontrak sehingga Oktober ini akan terus membimbing pasukan.

Kejohanan antarabangsa pertama yang akan dilalui ialah Piala Sultan Azlan Shah 2020 di Ipoh Perak yang akan berlangsung pada 11 hingga 18 April 2020 dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) diberikan kepada beliau ialah memastikan skuad negara layak ke final.

Recent Posts

Leave a Comment