Faid Tekad Untuk Tingkatkan Lagi Persembahan Bersama Skuad Kebangsaan

Pemain pasukan UniKL, Mohamad Faid Farhadh Mohamad Shah percaya dia mampu tingkatkan lagi persembahan selepas tersenarai dalam kem latihan skuad lelaki kebangsaan kendalian Roelant Oltmans bagi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah 2020, April nanti.

Berusia 22 tahun, Faid merupakan antara muka baharu yang memperkuatkan cabaran UniKL dalam kempen TNB-LHM 2020 dan ia merupakan antara musim terbaik buat dirinya selepas meraih gelaran ‘treble’.

Nyata persembahan yang dipamerkan sepanjang musim ini mencuri perhatian Oltmans, menyaksikan dia antara 11 pemain baharu yang dipanggil dalam senarai 34 pemain untuk kem latihan skuad lelaki kebangsaan yang bermula 2 Mac ini.

“Untuk tersenarai dalam kem latihan skuad kebangsaan ini adalah luar jangkaan saya. Pada mulanya saya hanya beri tumpuan bagi membantu UniKL dalam kempen TNB-LHM 2020.

“Tetapi apabila mengetahui nama saya disenaraikan oleh jurulatih skuad lelaki kebangsaan, Roelant Oltmans, saya anggap ia sebagai satu bonus kepada saya,” jelas Faid.

Mula terbabit dalam sukan hoki sejak berusia 10 tahun, Faid mewakili negeri Melaka dalam pelbagai kejohanan peringkat umur di samping membantu Melaka menjuarai Piala Tun Razak tahun lalu.

Kemuncak kepada persembahan cemerlang Faid sudah pasti jaringan pada perlawanan akhir Piala TNB 2020 menentang Terengganu Hockey Team (THT) yang menyemarakkan kebangkitan UniKL untuk menewaskan lawan.

Beberapa pemain senior masih lagi menjadi sandaran buat Oltmans dalam skuad kendaliannya kali ini dan Faid berharap mampu menimba sebanyak mungkin ilmu bersama mereka.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai skuad senior, saya akan cuba sebaik mungkin dalam kem latihan nanti.

“Saya melihat ini sebagai pengalaman yang baharu kepada diri saya, masih banyak lagi yang saya perlu dipelajari khususnya daripada pemain-pemain yang lebih senior dan seterusnya cuba untuk tingkatkan lagi prestasi permainan,” ujar Faid lagi.

Dalam pada itu, Faid turut menghargai peranan penting oleh UniKL dalam memberikannya peluang untuk membuktikan kemampuan.

Selain Faid, pemain UniKL lain yang tersenarai adalah Muhammad Razie Abd Rahim, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Mohamad Ashran Hamsani, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil serta Muhammad Hafiz Zainol.

“Maklumbalas yang saya terima dari rakan, jurulatih serta pengurusan UniKL adalah sangat positif, mereka banyak memberikan sokongan dan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk sertai kem latihan skuad kebangsaan.”

Recent Posts

Leave a Comment