KHM Sambut Baik Pengumuman FIH Mengenai Slot Ke Piala Dunia 2022/2023

In MAIN

Pengumuman yang dilakukan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengenai slot kelayakan secara automatik bagi beraksi di Kejohanan FIH Piala Dunia 2022/2023 Wanita dan Lelaki dianggap sesuatu yang cukup positif oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

FIH telah memperuntukkan tiga slot kepada pasukan daripada Asia bagi kategori lelaki termasuk satu slot yang telah diisi oleh pasukan India selaku tuan rumah kejohanan dan dua slot bagi kategori wanita.

Ini sekaligus menyaksikan Kejohanan Piala Asia yang dijangka berlangsung pada 2021 tidak hanya menjadi perlawanan bagi merebut piala tersebut sahaja tetapi ia turut menjadi medan bagi pasukan-pasukan di Asia menempah tempat lebih awal ke Kejohanan FIH Piala Dunia 2022/2023 Wanita dan Lelaki.

Timbalan Presiden KHM, Prof. Dato’ Dr. Shamala Subramaniam memuji tindakan awal FIH untuk memaklumkan kepada semua pasukan mengenai cara melayakkan diri ke pentas Piala Dunia dan kini skuad negara perlu menumpukan perhatian bagi menghadapi lawan daripada Asia bagi perebutan slot tersebut.

“Pada pandangan saya FIH telah mengambil satu langkah yang cukup baik dengan mengambil serius implikasi Pandemik Covid-19 kepada seluruh negara kerana proses kelayakan itu cukup penting untuk Kejohanan Piala Dunia.

“KHM menyambut baik pemakluman awal yang dibuat oleh FIH mengenai cara kelayakan dan penambahan slot untuk layak secara automatik dengan memberikan tiga slot kepada pasukan di Benua Asia bagi kategori lelaki serta dua slot kepada pasukan wanita.

“Penambahan slot tersebut sesuatu yang cukup bagus kepada pasukan-pasukan daripada Asia memandangkan tuan rumah bagi kategori lelaki khususnya merupakan pasukan daripada Asia iaitu India.

“Pengumuman oleh FIH adalah sesuatu yang cukup baik kerana kami perlu mengambil kira sekiranya terdapat cabang lain yang dibuka oleh FIH untuk kelayakan, persiapan pasukan untuk berdepan dengan pelbagai pasukan adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan.

“Apabila penambahan slot diumumkan, kini kami boleh merangka persiapan dengan terperinci bagi menghadapi pasukan-pasukan daripada Asia berbanding dengan kami tidak mengetahui pasukan mana yang perlu ditentang.

“Memandangkan impak Pendamik Covid-19 memberikan kesan kepada keupayaan pasukan untuk menjelajah ke negara lain bagi melakukan persiapan, kini kami boleh memberikan fokus untuk berhadapan dengan pasukan-pasukan daripada Asia dan ia merupakan sesuatu yang cukup baik,” jelas Prof. Dato’ Dr Shamala.

Sebelum ini hanya enam slot automatik untuk beraksi di Kejohanan FIH Piala Dunia bagi kategori lelaki dan wanita diperuntukkan oleh FIH di mana tuan rumah Piala Dunia dan Juara Kejohanan Kontinental sahaja layak mendapat tempat secara automatik.

Namun menerusi format baru yang telah diumumkan FIH semalam, lima Juara Kejohanan Kontinental 2021 bersama lima lagi negara yang berada di ranking tertinggi Kejohanan Kontinental 2021 layak untuk mendapat slot automatik bersama tuan rumah bagi Kejohanan FIH Piala Dunia 2022/2023.

Sementara lima lagi slot berbaki untuk melengkapkan 16 pasukan yang akan beraksi di pentas Piala Dunia 2022/2023 akan ditentukan menerusi aksi kelayakan yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2022.

Berikut merupakan pecahan slot automatik yang diberikan kepada 11 pasukan untuk beraksi di Kejohanan FIH Piala Dunia 2022/2023 bagi kategori Wanita dan Lelaki.

Kategori Wanita

Afrika – 1 slot (Juara Kejohanan Kontinental 2021)

Asia – 2 slot

Eropah – 4 slot (Termasuk tuan rumah bagi Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Wanita 2022 iaitu Belanda dan Sepanyol)

Oceania – 2 slot

Pan Amerika – 2 slot

Kategori Lelaki

Afrika – 1 slot (Juara Kejohanan Kontinental 2021)

Asia – 3 slot (Termasuk tuan rumah bagi Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Lelaki 2023 iaitu India)

Eropah – 4 slot

Oceania – 2 slot

Pan Amerika – 1 slot (Juara Kejohanan Kontinental 2021)

Recent Posts

Leave a Comment