Terima Kasih Menteri Belia Dan Sukan

In MAIN

Pengumuman Peruntukan RM10 juta kepada persatuan sukan kebangsaan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, menerusi Inisiatif Prihatin Sukan 2020 pastinya melegakan persatuan sukan yang terkesan dengan wabak Pandemik Covid-19 dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) juga tidak terkecuali.

Sebagai salah satu persatuan sukan yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), bantuan “one-off” berjumlah RM5000 sehingga RM10,000 pastinya akan memberikan kesan positif kepada KHM dalam meringankan impak ekonomi serta kewangan persatuan susulan Pandemik Covid-19 selain ianya turut membantu dari segi kelangsungan pengurusan persatuan.

Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal memuji tindakan kerajaan khususnya kementerian di bawah Dato’ Sri Reezal Merican iaitu Kementerian Belia Dan Sukan yang mengambil satu langkah kehadapan bagi membantu semua persatuan sukan yang berkelayakan untuk terus gagah berdepan dengan cabaran susulan penyebaran Pandemik Covid-19.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya Dato’ Sri Reezal Merican di atas Inisiatif Prihatin Sukan 2020 yang telah diumumkan hari ini di mana peruntukan yang akan diberikan ini sangat membantu bagi meringankan cabaran yang persatuan sukan perlu hadapi susulan penyebaran Pandemik Covid-19.

“Semua sedia maklum bukan sahaja industri sukan tetapi pelbagai pihak juga cukup terkesan ekoran penyebaran Pandemik Covid-19 terutamanya dari sudut ekonomi dan kami di KHM menyokong penuh pengumuman yang telah dibuat oleh Menteri Belia Dan Sukan.

“Ini satu tindakan yang cukup positif dalam membantu persatuan sukan untuk terus bernafas sambil berdepan dengan kesan yang ditinggalkan oleh penyebaran Pandemik Covid-19. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia khusunya Dato’ Sri Reezal Merican di atas inisiatif ini,” jelas Dato’ Sri Subahan Kamal.

Menerusi pengumuman yang telah dibuat oleh Menteri Belia Dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican hari ini, peruntukan RM10 juta yang diberikan kepada industri Sukan dan Rekreasi akan dibahagikan kepada tiga kategori.

Kategori pertama iaitu peruntukan RM2 juta bagi membantu pengurusan persatuan sukan kebangsaan yang berdaftar di bawah PJS.

Kategori kedua pula peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membantu menjalankan program dan aktiviti persatuan sukan.

Sementara kategori ketiga adalah peruntukan RM3 juta bagi membantu program pendigitalan serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) persatuan.

Recent Posts

Leave a Comment