Puma Active Sports Taja Kelengkapan Pakaian Skuad Kebangsaan

In MAIN

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini berbesar hati mengumumkan Jenama Puma yang diwakili Active Sports tampil selaku penaja baru bagi kelengkapan pakaian Skuad Hoki Negara bagi tempoh 2021 hingga 2023 di mana semua pemain kebangsaan akan menyarung jersi yang ditaja oleh Puma secara rasmi pada tahun 2021.

Pengumuman tersebut dilakukan sendiri oleh Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal dalam satu sidang media yang berlangsung hari ini di mana hadir bersama dalam sidang media tersebut ialah En. Murugeson Sithambhram iaitu Pengurus Active Sports Centre yang juga bertindak selaku wakil penaja jenama Puma.

Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal menjelaskan penajaan kelengkapan pakaian selama tiga tahun tersebut bernilai RM 1.5 juta bagi tempoh tiga tahun bermula secara rasmi pada 2021 hingga 2023.

“Pada hari ini KHM telah memeterai satu perjanjian persefahaman bersama Active Sports yang merupakan wakil penaja Puma. Kami telah menandatangani perjanjian selama tiga tahun untuk Puma muncul selaku penaja kelengkapan pakaian rasmi dengan jumlah keseluruhan penajaan bernilai RM 1.5 juta bagi tempoh tersebut.

“Bermula 2021 hingga 2023 semua pasukan kebangsaan akan memakai kelengkapan jenama Puma dan kami sangat gembira serta berbesar hati apabila Puma yang menaja pasukan bola sepak ternama seperti Manchester City serta Borussia Dortmund telah tampil untuk menaja Skuad Hoki Negara.

“Secara rasmi pasukan Senior Lelaki Kebangsaan akan menyarung jersi Puma pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini dan di atas budi bicara bersama Active Sports, skuad kebangsaan juga akan menggunakan pakaian latihan jenama Puma dalam masa terdekat.

“Kami kini sedang dalam proses mereka jersi baru pasukan kebangsaan dan pada penghujung Oktober, kami akan melancarkan jersi baru secara rasmi di mana skuad Senior Lelaki dan Wanita serta Remaja Lelaki dan Wanita akan menggayakan jersi tersebut,” ujar Dato’ Sri Subahan Kamal.

Dalam pada itu, Pengurus Active Sports Centre, En. S. Murugeson, dalam sidang media tersebut turut menjelaskan alasan utama Active Sports yang merupakan wakil Puma tampil kehadapan bagi menaja Skuad Hoki Kebangsaan.

“Kami memilih untuk menaja Konfederasi Hoki Malaysia dan pasukan hoki kebangsaan kerana skuad hoki negara merupakan pasukan yang bertaraf dunia.

“Hoki juga merupakan pasukan yang mempunyai peminat tersendiri serta merupakan sukan yang terkenal di Malaysia. Mereka berada di dalam kelas tersendiri dan tiada alasan lain mengapa kami mahu muncul selaku penaja,” jelas En. Murugeson.

Recent Posts

Leave a Comment