PKS UNITEN-KPT Lawan PDRM: Jaringan Awal Jadi Penentu

In MAIN

Terikat 3-3 selepas babak separuh akhir pertama Piala Vivian May Soar 2021, Juara bertahan, PKS Uniten-KPT memburu jaringan awal yang dianggap boleh menjadi penentu kemenangan apabila berdepan PDRM Blue Warriors pada perlawanan separuh akhir kedua esok.

Pengendali PKS Uniten-KPT, Lailin Abu Hassan tidak lagi mahu episod terpaksa bertungkus lumus mengejar dari belakang setiap kali bertemu PDRM Blue Warriors berulang.

“Dua kali menentang PDRM Blue Warriors, dua kali juga kami ketinggalan jaringan dan terpaksa mengejar dari belakang. Saya mengingatkan pemain supaya keadaan sama tidak berlaku esok kerana ini akan menjejaskan tumpuan dan strategi permainan,” ujar beliau.

Status sebagai juara bertahan juga tidak membawa sebarang kesan kerana kedua-dua pasukan sama ada PKS Uniten-KPT mahupun PDRM Blue Warriors yang kini dilihat berada pada kekuatan seimbang.

“Saya telah merancang strategi bersesuaian, pertukaran pemain selain berharap perlawanan ditentukan dalam 60 minit dan tidak diheret ke penentuan penalti,” kata Lailin.

Sementara itu, Jurulatih PDRM Blue Warriors, Ahmad Nizam Yusof pula berkata dalam keadaan perlawanan hidup mati, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Kami yakin mampu untuk menyerap apa juga tekanan dan pemain berada pada tahap fizikal juga mental yang baik. Semua pemain sedar kami hanya mempunyai satu peluang, jadi semua perlu berikan yang terbaik,” jelas beliau.

Ketika PKS Uniten-KPT dan PDRM Blue Warriors harus membuat perhitungan hingga ke wisel terakhir bagi menentukan siapakah layak ke pentas final, UniKL Ladies pula tidak sabar untuk menanti lawan yang bakal ditemui pada aksi akhir nanti.

Kemenangan 8-0 ke atas Sabah sebelum ini sudah cukup selesa buat UniKL Ladies dan bagi pengendali UniKL Ladies, Roslan Jamaluddin, separuh akhir kedua menentang Sabah lebih merupakan latihan untuk persiapan ke pentas final.

“Bukan bermaksud merendah keupayaan Sabah tetapi perlawanan esok akan digunakan untuk mencatur strategi menjelang perlawanan akhir. Kami kini hanya menanti antara PKS Uniten-KPT atau PDRM Blue Warriors, dan kami sudah bersedia untuk menentang kedua-duanya,” kata Roslan.

 

JADUAL PERLAWANAN:

Rabu, 31 Mac:

Separuh Akhir 2

PKS Uniten (3) KPT mln PDRM Blue Warriors (3)

Sabah (0) UniKL Ladies (8)

Recent Posts

Leave a Comment