Piala TNB 2021 : UniKL – THT Berentap Di Final

In MAIN

UniKL dan Terengganu Hockey Team (THT) akan berentap dalam aksi final Piala TNB 2021 selepas kedua-dua pasukan mengetepikan cabaran lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Hoki Nasional malam ini.

Saingan perlawanan akhir 2021 merupakan ulangan kepada perlawanan akhir tahun lepas yang menyaksikan UniKL menjulang kejuaraan. UniKL mara selepas mengatasi TNB 3-1 untuk layak ke final dengan agregat 4-1.

Juara TNB Liga Hoki Malaysia (Premier) 2021 itu terpaksa mengharungi tentangan sengit TNB pada tiga suku pertama sebelum menidakkan peluang TNB dengan menerusi tiga gol pada suku keempat.

Peluang TNB tampak terbuka apabila Muhammad Shamir menyudahkan peluang di depan melepasi penjaga gol UniKL, Adrian Andy.

Bagaimanapun, UniKL mula bangkit pada suku keempat dengan Muhammad Hafiz Zainol membuka jaringan penting untuk menyelamatkan UniKL menerusi penyudahan daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-46.

Muhammad Marhan Jalil menyerlah dengan gol pada minit ke-53 manakala Muhammad Razie Abd Rahim menambah koleksi gol dan memuktamadkan tiket final menerusi satu flik terus pada minit ke-59.

Jurulatih UniKL, Megat Azrafiq Megat Termizi lega dengan kejayaan mara sekali lagi ke akhir dan memuji kekentalan pemain bertahan juga bersabar dalam permainan.

“Kami hanya mengekalkan struktur permainan, bersabar dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk membolosi gol lawan. Nyata strategi itu berjaya,” kata beliau yang menyifatkan saingan menentang THT di final nanti pasti ditunggu-tunggu.

THT, yang dikecewakan UniKL tahun lepas, menumpaskan Maybank 2-1 untuk layak ke perlawanan akhir bagi tahun ketiga berturut-turut dengan aggregate 4-1.

Gergasi Pantai Timur itu nyata menguasai gerakan sepanjang 60 minit perlawanan dengan permainan yang kemas tanpa memberi Maybank banyak peluang untuk merlancarkan serangan.

Perancangan jurulatih THT, K. Rajan untuk menekan dan mencari kemenangan nyata menjadi apabila Luqmannul Hakim Ahmad Shukran menyempurnakan pukulan sudut penalti seawal minit ketiga.

“Kami sedar bahawa Maybank turun dengan rancangan menyerang habis-habisan. Strategi kami ialah hanya menunggu dan melakukan serangan balas selain memaksa mereka untuk melakukan kesilapan,” jelas beliau.

Maybank berjaya membalas untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-24 menerusi jaringan padang Alfarico Lance Liau Jr.

Namun, Muhammad Sufi Ismat Rohulami memastikan kemenangan dan agregat selesa buat THT apabila meledak gol pada minit ke-39 untuk memastikan tiket ke final milik THT.

“Tugas penting kini ialah memastikan persediaan secukupnya untuk perlawanan akhir dan pemain akan menjalani latihan akhir pada Jumaat ini untuk muktamadkan strategi,” ujar Rajan.

Jurulatih Maybank Azrul Effendy Bistamam nyata kecewa kerana terdapat beberapa peluang yang disia-siakan oleh skuad bimbingannya.

“Kami akan bersiap semula untuk penentuan tempat ketiga dan cabaran kini ialah menaikkan semula semangat pemain,” kata beliau.

Recent Posts

Leave a Comment