Perlawanan Ujian: Malaysia Tundukkan Ireland 4-2

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang turun bertemu Pasukan Ireland dalam perlawanan ujian kedua hari ini dengan misi mencari kemenangan di Lisnagarvey Hockey Club, berjaya melunaskan misi tersebut apabila menewaskan Ireland 4-2.

Empat gol yang dihasilkan oleh Malaysian Tigers bermula dengan dua gol berturut-turut daripada pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim yang menyempurnakan kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-11 dan ke-12.

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menambah jaringan ketiga buat kem negara menerusi gerakan padang pada minit ke-15 sebelum Muhammad Najib Abu Hassan melengkapkan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-22 juga menerusi jaringan padang.

Pada aksi hari ini, Malaysia bagaimanapun terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal Ireland pada minit ketiga menerusi gol padang Jeremy Duncan sebelum skuad negara berjaya menutup kelebihan gol pasukan lawan itu.

Dua minit sebelum masa perlawanan berakhir, Ireland menambah satu lagi gol hasil kelebihan pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Luke Madeley dan sekaligus menutup perlawanan ujian antara Malaysia – Ireland dengan kemenangan berpihak kepada pasukan negara, 4-2.

Kemenangan yang diraih skuad negara hari ini pastinya menjadi lebih manis buat dua pemain iaitu, Zulpidaus Mizun yang mengumpul caps antarabangsa pertama bersama Skuad Senior Kebangsaan semalam, sementara hari ini giliran Shello Silverius mengumpul caps antarabangsa pertamanya.

Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj nyata bangga dengan anak-anak buahnya yang mengambil ikhtibar daripada kekalahan pada aksi pertama untuk lebih bersedia mencari kemenangan dalam aksi kedua bertemu Ireland.

“Satu persembahan yang betul-betul memberangsangkan dan positif untuk mereka bangkit kembali daripada kekalahan semalam. Kami mendapat tiga kelebihan pukulan sudut penalti dan Razie Rahim menjaringkan dua daripadanya sementara Ireland dihadiahkan dengan lebih banyak pukulan sudut penalti berbanding kami.

“Jaringan gol padang menerusi Azrai Aizad dan Najib Hassan juga menunjukkan dalam pasukan kami ramai pemain yang boleh menjaringkan gol padang.

“Esok kami akan bertolak ke Cardiff untuk dua aksi perlawanan ujian bertemu pasukan Wales dan harapan kami adalah untuk pemain beraksi dengan tenaga, motivasi dan kemahuan yang sama seperti hari ini untuk mendapatkan kemenangan seterusnya,” jelas Arulselvaraj.

Ketua Pasukan Kebangsaan, Muhammad Marhan Mohd Jalil berkongsi, beliau serta rakan sepasukan turun dengan keyakinan yang cukup tinggi, dan berusaha sehabis baik selain beraksi sebagai satu pasukan untuk memastikan kemenangan milik mereka hari ini.

Beliau turut berharap pasukan akan mengekalkan momentum yang ditunjukkan hari ini dalam aksi bertemu Wales nanti.

“Setiap pemain turun dengan penuh keyakinan serta menunjukkan semangat juang yang cukup tinggi dan apa yang cuba kami lakukan untuk mencari kemenangan terjadi.

“Saya berharap setiap pemain akan kekal fokus untuk baki dua perlawanan ujian bertemu Wales dan momentum serta keyakinan yang ada akan diteruskan sehingga kami berjaya mencapai kemenangan dalam perlawanan bertemu Wales,” ujar Marhan Jalil.

Aksi ketiga bagi perlawanan ujian buat Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang merupakan perlawanan ketujuh keseluruhan dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 akan kembali bersambung pada Sabtu (9 Oktober) jam 11.30 malam waktu Malaysia bertemu Pasukan Wales di Wales Hockey Centre.

Recent Posts

Leave a Comment