Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan 1-3 Hampstead & Westminster H.C

Pengendali Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan menyifatkan keputusan tewas 1-3 kepada Kelab Hampstead & Westminster pada aksi keempat bagi Siri Jelajah Eropah 2021 yang berlangsung di Paddington Recreation Club tidak menggambarkan prestasi yang telah ditunjukkan barisan pemain muda negara.

Ujar Wallace Tan, anak-anak buahnya telah menunjukkan satu corak permainan yang cukup baik pada separuh masa pertama termasuk mereka berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu seawal minit ketujuh menerusi gol pukulan sudut penalti oleh Muhammad Fahmi Khalid.

Bagaimanapun, Kelab Hampstead & Westminster mengejar kedudukan tersebut menerusi gol padang pada minit ke-12 untuk jaringan penyamaan sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti dan beberapa saat sebelum perlawanan tamat, lawan pasukan negara itu menjaringkan gol menerusi pukulan stroke.

Wallace Tan juga menjelaskan masalah kecederaan terus menjadi masalah yang membimbangkan oleh beliau apabila memasuki separuh masa kedua perlawanan, ada beberapa pemain mengalami kecederaan hingga menyebabkan pada satu ketika, beliau tidak dapat melakukan pengiliran pemain.

“Perlawanan hari ini saya boleh katakan sebagai perlawanan yang baik dan keputusan tewas 1-3 tidak menggambarkan prestasi dalam perlawanan.

“Hampstead & Westminster merupakan satu kelab yang berkualiti dan mereka menjaringkan gol kedua daripada pukulan sudut penalti sementara gol ketiga adalah pukulan strok yang bermula dengan pukulan sudut penalti juga.

“Selepas gol penyamaan daripada gerakan padang, lawan tidak mempunyai peluang yang terbuka dan ia menunjukkan terdapat peningkatan dalam permainan dan kami perlu lebih konsisten tetapi untuk kekal konsisten, kami perlu mempunyai jumlah pemain yang mencukupi.

“Kami bermain dengan baik dalam separuh masa pertama dan kami mendahului perlawanan 1-0. Memasuki separuh masa kedua pemain bermain dengan lebih agresif dan ia menyebabkan pemain-pemain mula mengalami kecederaan.

“Masalah kecederaan yang berlaku hari ini juga menyebabkan ada satu ketika, dua atau tiga pemain tidak dapat masuk ke padang dan menyukarkan kami untuk membuat penukaran pemain selain kami juga sukar untuk mengekalkan momentum perlawanan.

“Ini satu kerisauan untuk saya kerana kini ramai pemain yang mengalami kecederaan. Sebelum perlawanan hari ini, empat pemain tidak boleh bermain untuk perlawanan hari ini termasuk Akhimullah, Saifuddin Azli, Arif Shafie dan Hafizi Zainuddin.

“Selepas tamat perlawanan hari ini, satu dua lagi pemain mengalami kecederaan ekoran daripada permainan agresif dan ia merisaukan saya.

“Saya berharap daripada kelompok pemain yang mengalami kecederaan ini, ada satu atau dua pemain yang boleh kembali supaya kami mempunyai jumlah pemain yang cukup,” jelasnya.

Skuad Remaja Negara akan turun menentang Pasukan Wales B-23 untuk aksi kelima yang akan berlangsung pada awal pagi Ahad (10 Oktober) jam 1.30 pagi waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment