Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan Catat Kemenangan Ke Atas Wales B23

Perlawanan kelima Siri Jelajah United Kingdom 2021 yang menemukan Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan dengan Pasukan Wales B-23 menyaksikan skuad remaja negara berjaya melakar kemenangan pertama apabila menewaskan lawan mereka 2-1.

Dua gol pasukan negara bermula pada minit ke-48 selepas Muhammad Noor Firdaus Rosdi bijak untuk menghidu peluang daripada gerakan padang untuk meletakkan Malaysia di hadapan 1-0 sebelum kelebihan pukulan sudut penalti yang diterima pada minit ke-56 berjaya disudahkan oleh Muhammad Arif Shafie Ishak untuk skuad B-21 negara terus selesa di hadapan.

Bagaimanapun Wales-B23 berjaya untuk mencuri satu gol daripada aksi hari ini apabila minit ke-58 menerusi gerakan padang, mereka berjaya untuk menjaringkan gol dan kedudukan 2-1 berpihak skuad negara kekal menutup perlawanan.

Pengendali Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallaca Tan beranggapan walaupun skuad bimbingannya berjaya meraih kemenangan pada aksi hari ini, namun mereka masih akan terus belajar untuk mempertingkatkan lagi tahap pasukan selain beliau melihat ada beberapa aspek positif dalam aksi hari ini.

“Perlawanan hari ini kami bermain dengan lebih baik selain beberapa kekurangan telah diperbaiki dan kami dapat mencatat kemenangan, namun masih ada ruang yang perlu terus diperbaiki.

“Tujuan utama kami dalam siri jelajah ini adalah untuk belajar dan selepas dua tahun tidak beraksi menentang pasukan dari luar, ini merupakan perlawanan kelima kami dan kami masih lagi dalam proses pembelajaran.

“Baki tiga lagi perlawanan juga kami masih lagi mahu terus belajar kerana daripada situ banyak perkara yang boleh dipertingkatkan termasuk tahap pasukan kami.

“Jadi pada saya yang penting adalah untuk melihat peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan,” jelasnya.

Skuad B-21 negara akan bertemu kembali Skuad B-21 England untuk perlawanan keenam mereka di mana aksi tersebut akan berlangsung di Bisham Abbey pada 12 Oktober (Selasa) jam 11.30 malam waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment