Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan Tewaskan England B21

Kemenangan kedua berjaya diraih oleh Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 kali ini menewaskan Skuad B-21 England, 5-4 dalam perlawanan keenam yang berlangsung di Bisham Abbey.

Kemenangan 5-4 yang diraih oleh Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan masih belum memuaskan hati Ketua Jurulatih, Wallace Tan yang melihat terdapat beberapa aspek yang harus diperbetulkan lagi dan banyak yang masih boleh dipelajari oleh anak-anak buahnya itu.

“Untuk perlawanan hari ini terutamanya dalam aksi separuh masa pertama pemain telah menunjukkan satu permainan yang baik dan semua yang dirancang telah berjalan dengan baik.

“Walaupun kami menang dalam perlawanan ini tetap masih ada yang perlu dipelajari oleh pasukan kerana ada lagi beberapa aspek yang perlu diperbetulkan.

“Kami masih mempunyai baki dua perlawanan untuk kami memperbaiki lagi apa yang perlu kami lakukan,” jelasnya.

Dalam perlawanan yang berlangsung hari ini, Skuad B-21 negara mula merobek gawang lawan pada minit ke-18 menerusi gerakan padang Muhammad Amirul Haniff Mamat sebelum Muhammad Noor Firdaus Rosdi terus meletakkan Malaysia di hadapan 2-0 pada minit ke-24.

Berselang tiga minit kemudian, menerusi satu lagi sentuhan gerakan padang, Malaysia melebarkan jurang gol 3-0 hasil jaringan Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan pada minit ke-29, giliran Muhammad Muhibuddin Moharam mencatat nama selaku penjaring apabila menyudahkan kelebihan pukulan sudut penalti.

Muhammad Amirul Haniff Mamat sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-33 menerusi gerakan padang untuk memastikan Malaysia terus selesa mendahului 5-0.

Namun bermula pada minit ke-38, Skuad B-21 England mula mengejar kedudukan hasil pukulan sudut penalti untuk kedudukan berubah 5-1.

Kelebihan demi kelebihan pukulan sudut penalti terus dimanfaatkan oleh Pasukan England B-21 apabila menjaringkan tiga lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-43, minit ke-55 dan minit ke-59 untuk perlawanan berakhir dengan kemenangan 5-4 berpihak Skuad B-21 Malaysia.

Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan akan bertolak ke Scotland untuk bertemu Skuad B-23 Scotland bagi perlawanan ketujuh mereka di mana aksi tersebut akan berlangsung di Scotland Hockey Centre pada 14 Oktober (Khamis) jam 11.30 malam waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment