Perlawanan Ujian: Malaysia Raih Kemenangan 3-1 Ke Atas Wales

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan menutup aksi perlawanan ujian keempat yang juga merupakan perlawanan ujian terakhir di Siri Jelajah United Kingdom 2021 dengan kemenangan 3-1 ke atas Wales dalam aksi yang berlangsung di Reading Hockey Club.

Dengan berakhirnya aksi hari ini, ia sekaligus menyaksikan daripada empat perlawanan ujian yang telah diatur, Malaysia mencatatkan dua kemenangan menentang Wales dan satu kemenangan serta satu tewas menentang Ireland.

Secara keseluruhan, sebanyak 10 perlawanan perlu dilalui oleh skuad negara dalam siri jelajah ini iaitu empat perlawanan ujian dan enam perlawanan persahabatan. Selepas ini skuad negara akan meneruskan aksi baki dua perlawanan persahabatan iaitu menentang Pasukan Perancis.

Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj menyifatkan skuad kendaliannya telah berjaya mencapai salah satu matlamat dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 iaitu untuk belajar bermain dalam keadaan tekanan dan memenangi perlawanan dalam situasi tertekan itu.

“Kemenangan yang bagus untuk Hoki Malaysia dan juga rakyat Malaysia. Kemenangan ini lebih manis kerana kami melalui perjalanan tiga jam untuk sampai ke venue perlawanan, kami bermain dalam cuaca yang sejuk dan juga hujan.

“Ini juga tujuan utama kami ke Jelajah United Kingdom kerana kami mahu pemain bermain dengan keadaan tertekan. Kami mahukan supaya mereka boleh bermain dalam keadaan tertekan dan memenangi perlawanan.

“Ia satu pencapaian yang cukup baik untuk para pemain. Kami percaya kepada proses yang kami lalui dan kami sentiasa terus bekerja keras untuk mencapai sasaran kami di masa depan.

“Terima Kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami dan teruslah menyokong kami,” jelasnya

Kemenangan 3-1 yang diraih skuad negara hari ini hasil dua gol yang disumbangkan oleh Faizal Saari menerusi gol pukulan sudut penalti pada minit ke-17 dan jaringan padang pada minit ke-18.

Wales bagaimanapun cuba untuk merapatkan jurang jaringan dengan menjaringkan gol pukulan sudut penalti pada minit ke-58 menerusi Ioan Wall namun pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim menjarakkan kembali kedudukan dengan menjaringkan gol ketiga Malaysia menerusi pukulan sudut penalti pada mint ke-59, yang sekaligus menutup pertemuan hari ini dengan kemenangan 3-1 milik Malaysia.

Kemenangan hari ini juga menjadi satu kenangan cukup manis buat pemain muda negara, Muhammad Shafiq Hassan yang mengutip caps pertamanya bersama Skuad Senior Lelaki kebangsaan.

“Terima kasih kepada pasukan dan juga kepada jurulatih yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk mendapatkan caps pertama pada hari ini. Kemenangan hari ini juga menaikkan semangat saya lagi untuk kekal berada di dalam Skuad Senior Lelaki Kebangsaan,” ujar Shafiq Hassan.

Aksi perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Perancis akan berlangsung pada 15 Oktober (Jumaat) jam 7.00 malam waktu Malaysia di Wales Hockey Centre.

Recent Posts

Leave a Comment