Skuad Hoki Senior Lelaki Kebangsaan Lonjak ke Tangga 10 Dunia

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Dato’ Sri Subahan Kamal dalam satu sidang media yang berlangsung hari ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang berada di bawah kepimpinan Dato’ Ahmad Najmi Razak selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM dan Pengurus Pasukan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Dato’ Mirnawan Nawawi serta Ketua Jurulatih, A Arulselvaraj.

Ucapan tahniah itu disampaikan selepas kejayaan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang telah berjaya untuk berada di dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia dalam senarai ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang kini berada di United Kingdom bagi Siri Jelajah United Kingdom 2021 telah menamatkan empat perlawanan ujian yang turut menyumbang kepada pungutan mata bagi ranking dunia.

Perlawanan yang diatur sepanjang siri jelajah juga adalah sebagai salah satu persediaan menjelang Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2021 di Dhaka, Bangladesh yang akan berlangsung pada 14 hingga 22 Disember 2021.

“Saya selaku Presiden KHM ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan kerana di dalam Siri Jejalah United Kingdom 2021 yang berlangsung hampir sebulan, mereka telah melalui beberapa perlawanan termasuk perlawanan yang menawarkan mata untuk ranking FIH.

“Seperti semua sedia maklum, Malaysia kini berada di ranking ke-11 dunia dan pagi tadi dalam perlawanan ujian terakhir menentang pasukan Wales, Skuad Senior Lelaki Kebangsaan telah menewaskan pasukan Wales 3-1.

“Daripada kejayaan tersebut, untuk hari ini, ranking FIH setakat sekarang, menyaksikan kedudukan pasukan negara melonjak ke tangga ke-10 dunia. Ini adalah sesuatu yang cukup menggembirakan buat semua rakyat Malaysia dan khususnya kami di KHM.

“Kali terakhir Malaysia menduduki ranking ke-10 dunia adalah pada tahun 2003/2004 sejak sistem ranking itu diperkenalkan oleh FIH pada tahun 2003.

“Saya memaklumkan berita gembira ini kerana ini merupakan satu penghormatan buat Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang sedang meningkat naik dan sedang berusaha untuk mengapai lebih banyak pencapaian yang tertinggi.

“Saya cukup yakin pasukan ini akan bersiap sedia sepenuhnya menjelang perlawanan Trofi Juara-Juara Asia pada Disember nanti yang juga akan turut menyumbangkan mata kepada kedudukan ranking dunia.

“Pihak KHM juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) di atas semua sokongan dan bantuan yang telah diberikan.

“Ucapan terima kasih juga buat semua penaja rasmi KHM, khususnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) di atas semua sokongan serta bantuan yang diberikan,” jelas Dato’ Sri Subahan Kamal.

Dalam perkembangan yang sama, Dato’ Sri Subahan Kamal turut memaklumkan pada minggu lalu, satu Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif telah berlangsung dan satu kelulusan telah dicapai iaitu untuk menyerahkan RM10 ribu kepada semua Ahli Gabungan KHM pada minggu ini.

“Wang yang kami salurkan ini adalah sebagai sokongan dan bantuan kepada setiap ahli gabungan untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti sukan hoki di peringkat negeri masing-masing.

“Dengan SOP-SOP yang telah dilonggarkan oleh pihak Kerajaan Malaysia termasuk penonton juga telah dibenarkan untuk masuk ke stadium, Ia juga sebagai penggalak kepada mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti hoki sama ada secara karnival, Hoki Dalam Dewan, Hoki 5’s atau liga,” tambah Dato’ Sri Subahan lagi.

Pada sidang media yang sama juga, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh telah mengesahkan penyertaan pasukan yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021.

Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 10 hingga 20 November depan akan menampilkan 14 pasukan Lelaki dan 12 pasukan Wanita bagi merebut kejuaraan edisi ke-59 bagi lelaki dan edisi keenam bagi wanita.

 

Berikut merupakan senarai pasukan yang akan bersaing pada Piala Tun Abdul Razak 2021:

NO PASUKAN LELAKI WANITA
1 KEDAH / /
2 KUALA LUMPUR / /
3 MELAKA / /
4 NEGERI SEMBILAN / /
5 PAHANG / /
6 PDRM / /
7 PENANG / /
8 PERAK / /
9 SABAH / /
10 SELANGOR / /
11 TERENGGANU / /
12 ATM / X
13 KELANTAN / X
14 PERLIS / X
15 SARAWAK X /
16 JOHOR X X
Recent Posts

Leave a Comment