Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan Ikat Scotland B23

Aksi Siri Jelajah United Kingdom 2021 yang menemukan Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan dan Pasukan Scotland B-23 hari ini, di Clydesdale Hockey and Cricket Club, tamat dengan Skuad Remaja Negara berjaya mengikat pasukan lawan 1-1.

Perlawanan ketujuh secara keseluruhan buat Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan dalam siri jelajah ini menyaksikan jaringan minit ke-59 menerusi gerakan padang oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook berjaya menutup perlawanan dengan keputusan seri 1-1 selepas pasukan lawan terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-10 hasil kelebihan pukulan sudut penalti.

Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan dalam pada itu memuji semangat tidak putus asa yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya dalam mencari gol penyamaan perlawanan sehingga minit-minit terakhir perlawanan.

“Dalam perlawanan hari ini kami bermain dengan baik juga walaupun kami terlebih dahulu ketinggalan 0-1.

“Sehingga minit terakhir, pemain masih terus berjuang dan mereka dapat menyamakan kedudukan 1-1.

“Ini satu pembelajaran yang cukup baik untuk pasukan kami pada malam ini,” jelasnya.

Dalam perlawanan yang berlangsung hari ini, Presiden Hoki Scotland, Colin Fraser turut turun padang menyaksikan perlawanan bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Barry Cawte.

Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan akan melengkapkan aksi terakhir yang merupakan perlawanan kelapan mereka di Siri Jelajah United Kingdom pada 16 Oktober (Sabtu) jam 1.30 pagi waktu Malaysia bertemu Skuad B-23 Scotland sekali lagi di Clydesdale Hockey and Cricket Club.

Recent Posts

Leave a Comment