Malaysia – Perancis Terikat Seri

Perlawanan kesembilan juga merupakan perlawanan persahabatan bertemu Pasukan Perancis buat Skuad Senior Lelaki Kebangsaan di Siri Jelajah United Kingdom 2021 yang berlangsung di Wales Hockey Centre, hari ini tamat dengan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Muhammad Marhan Mohd Jalil muncul penyelamat buat skuad negara apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-56 menerusi gol padang, selepas Pasukan Perancis terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan juga menerusi gol padang pada minit ke-52.

Kapten Pasukan, Marhan Jalil melihat masih terdapat beberapa perkara yang boleh dibaiki oleh beliau dan rakan-rakan sepasukan yang kini telah meletakkan satu penanda aras untuk turun beraksi pada setiap perlawanan dan menang perlawanan tersebut.

“Bagi saya untuk keputusan hari ini, ianya masih boleh diperbaiki walaupun kami seri 1-1. Kami bermula dengan perlahan tetapi di suku ketiga dan keempat kami meningkatkan tempoh perlawanan.

“Apa yang akan kami cuba lakukan untuk perlawanan akan datang, kami akan terus memperbaiki kelemahan-kelemahan dan mencari kemenangan pada perlawanan tersebut.

“Kami telah meletakkan satu penanda aras di mana setiap perlawanan yang kami turun adalah untuk menang,” jelas Marhan yang menjaringkan gol tunggal Malaysia pada perlawanan hari ini.

Sementara itu Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj menyifatkan lawan mereka Perancis adalah pasukan yang berkualiti tinggi di mana pasukan Perancis membariskan pemain-pemain yang beraksi di Liga Belgium selain pemain-pemain ini juga akan beraksi di Perlawanan Pra-Piala Dunia, minggu hadapan.

“Tidak kira sama ada ianya berstatus perlawanan persahabatan atau perlawanan ujian, standard kami adalah sama kerana ini adalah proses kami untuk terus membawa semangat mentaliti untuk menang dalam pasukan.

“Kami akan turun beraksi dalam setiap perlawanan dengan mental, emosi, dan fizikal yang bersedia untuk menang.

“Perlawanan hari ini kami berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol Marhan Jalil, dan Marhan sebagai kapten pasukan sentiasa menunjukkan kualiti yang dimiliki beliau untuk menaikkan semangat pasukan untuk berusaha mendapatkan gol penyamaan.

“Selepas perlawanan sebenar berakhir, kami mengadakan latihan Shoot-Out dan kami memenangi latihan shoot-out tersebut, jadi ia merupakan satu petanda yang baik dari sudut mentaliti dan corak pemikiran untuk mendapatkan kemenangan,” ujar Arulselvaraj.

Aksi ke-10 skuad negara dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 akan bersambung pada Isnin, 18 Oktober jam 8.00 malam waktu Malaysia di mana aksi tersebut akan menemukan Malaysian Tigers dengan Pasukan Perancis, sekali lagi.

Recent Posts

Leave a Comment