Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan 0-1 Scotland B23

Perlawanan kelapan secara keseluruhan buat Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 yang menemukan Skuad Bawah-21 negara dengan Pasukan Bawah-23 Scotland di Clydesdale Hockey and Cricket Club, hari ini tamat dengan pasukan muda negara tewas 0-1.

Jaringan tunggal Scotland B-23 terhasil pada minit ke-55 menerusi satu gerakan padang dan dengan berakhirnya perlawanan hari ini, ia sekaligus menandakan maka tamatlah perjalanan Siri Jelajah United Kindgom 2021 buat Skuad Remaja Negara.

Untuk rekod secara keseluruhan selepas tamat lapan perlawanan yang diatur, Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan berjaya mencatatkan dua kemenangan, satu seri dan lima tewas sepanjang jelajah yang bermula pada 3 Oktober lalu.

Pengendali Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan berpandangan aksi hari ini pemain-pemainnya telah menunjukkan beberapa perkara yang positif disebalik keputusan perlawanan.

“Pemain telah memberikan yang terbaik untuk perlawanan hari ini dan terdapat beberapa perkara yang positif daripada perlawanan hari ini.

“Saya boleh berasa gembira dengan perkembangan yang baik daripada pemain-pemain tetapi masih ada perkara yang perlu dipelajari mereka.

“Secara keseluruhan siri jelajah ini jika dibandingkan daripada perlawanan pertama hingga kelapan, ada peningkatan yang telah ditunjukkan dalam setiap perlawanan.

“Pasukan tidak dapat bermain perlawanan kompetitif dalam dua tahun. Jadi siri jelajah ini sesuatu yang cukup baik untuk pasukan.

“Banyak yang telah kami pelajari selain dapat bermain sebagai satu pasukan, membina semangat pasukan dan belajar untuk memperbaiki apa yang perlu,” jelasnya.

Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan akan pulang ke tanah air hari ini dan dijangka tiba di Malaysia, pada Ahad (17 Oktober).

Recent Posts

Leave a Comment