Malaysia 2–2 Perancis

Perlawanan persahabatan menentang Perancis yang juga merupakan perlawanan ke-10 Skuad Senior Lelaki Kebangsaan dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021, yang berlangsung di Wales Hockey Centre hari ini tamat dengan keputusan seri 2-2.

Malaysian Tigers terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol gerakan padang, Shello Silverius pada minit ke-27 sebelum Perancis mengejar kedudukan dengan dua gol pukulan sudut penalti pada minit ke-38 dan ke-43.

Skuad negara kembali mengejar kedudukan tersebut apabila minit ke-46, menerusi kelebihan pukulan sudut penalti, Faizal Saari tidak mensia-siakan peluang yang dimiliki dengan menjaringkan gol penyamaan yang juga sekaligus menutup aksi terakhir mereka dalam siri jelajah ini dengan keputusan seri 2-2.

Pemain berpengalaman negara, Muhammad Razie Abd Rahim melihat disebalik keputusan seri hari ini, beliau memuji sikap rakan-rakan sepasukan yang tidak menyerah kalah dari awal hingga akhir perlawanan dan rakan sepasukannya berjaya mengurangkan kesilapan individu.

“Alhamdulillah kami menamatkan aksi terakhir siri jelajah dengan keputusan seri. Dari sudut prestasi, saya merasakan kami bermain dengan sangat bagus daripada awal permainan hingga tamat dan kami tidak menyerah kalah.

“Hari ini juga kami berjaya mengurangkan kesilapan individu untuk kami tamatkan perlawanan dengan keputusan seri.

“Secara keseluruhan untuk siri jelajah ini ianya sangat baik terutamanya perlawanan yang kami lalui kerana kami bermula dengan agak tidak bagus dan kami memperbaikinya daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Banyak perkara positif yang kami lakukan dalam siri jelajah ini tetapi masih ada lagi perkara yang perlu diperbaiki untuk dibawa ke kejohanan seterusnya.

“Pemain semua gembira dengan keadaan sekarang selain kami juga telah menetapkan standard iaitu kami perlu mencari kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Setiap pemain telah maklum dengan hala tuju pasukan, arah yang kami ingin tuju dan di mana kami berdiri ketika ini,” jelas Razie Rahim.

Untuk rekod, daripada 10 perlawanan yang telah dilalui Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, dalam enam perlawanan persahabatan, mereka mencatatkan satu kemenangan, empat seri dan satu tewas sementara empat lagi perlawanan ujian tamat dengan tiga kemenangan dan satu kekalahan.

Recent Posts

Leave a Comment