Arulselvaraj Puas Matlamat Utama Pasukan Tercapai

In MAIN

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj nyata berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan Siri Jelajah United Kingdom 2021 yang telah dilalui oleh skuad bimbingannya apabila matlamat utama mereka untuk menggunakan empat perlawanan ujian sebagai batu loncatan buat Malaysian Tigers memperbaiki kedudukan ranking, tercapai.

Malaysia ke Siri Jelajah United Kingdom 2021 sebagai pasukan yang berada di ranking ke-11 dunia dan dengan empat perlawanan ujian yang telah diatur menyaksikan skuad negara berjaya melonjak ke tangga ke-10 dunia menerusi keputusan tiga kemenangan dan satu kekalahan yang dicatat.

Arulselvaraj berkata: “Siri Jelajah United Kingdom 2021 kami berlangsung dengan bagus kerana kami berjaya mencapai matlamat kami iaitu menamatkan siri ini dengan berada di kedudukan 10 pasukan teratas dunia dan kami bermain enam perlawanan bertemu pasukan kebangsaan antarabangsa.

“Secara keseluruhan, bertemu dengan pasukan kebangsaan antarabangsa, dalam perlawanan ujian, kami menang tiga perlawanan dan tewas satu selain dua perlawanan persahabatan menentang Perancis kami seri kedua-dua perlawanan.

“Dapat juga dilihat peningkatan pemain dari segi rasa tanggungjawab dan kesedaran tentang cara menjaga diri termasuk cara makan dan gaya hidup sebagai atlet.

“Hari ini merupakan hari ke 29 kami berada di luar negara dan tiada pemain yang mempamerkan rasa rindu. Ini merupakan satu petanda yang baik kerana ia menggambarkan pemain gembira bermain bersama dan tinggal bersama.

“Pesanan kami kepada para pemain adalah untuk menikmati moment-moment ini kerana moment ini tidak akan berulang kembali,” jelasnya.

Terdahulu Malaysia Tigers turun bertemu Pasukan Perancis untuk aksi terakhir mereka di Siri Jelajah United Kingdom dan Malaysia mengikat Perancis dengan keputusan seri 2-2 hasil jaringan gerakan padang, Shello Silverius serta gol pukulan sudut penalti, Faizal Saari.

Mengulas mengenai aksi hari ini, Arul berkata: “Untuk perlawanan hari ini, kami memulakan suku pertama dan kedua dengan begitu yakin tetapi selepas rehat suku ketiga permainan agak sederhana dan membolehkan pasukan Perancis menjaringkan dua gol tetapi kami bangkit semula.

“Sedikit kekurangan hari ini adalah bahagian penyudahan kami. Kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol di mana di suku pertama kami memiliki lima peluang menjaringkan gol tetapi kami tidak menyudahkan kelebihan tersebut.

“Kami perlu meningkatkan lagi kemahuan di dalam kawasan gol lawan dan lebih agresif untuk menjaringkan gol.

“Pesanan akhir saya, teruskan sokongan kepada kami dan kami akan terus bekerja keras selain ini adalah penanda aras untuk kami bagi menaikkan lagi mutu permainan, kecergasan serta kualiti permainan hoki kami,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, daripada 10 perlawanan yang telah dilalui Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, dalam enam perlawanan persahabatan, mereka mencatatkan satu kemenangan, empat seri dan satu tewas sementara empat lagi perlawanan ujian tamat dengan tiga kemenangan dan satu kekalahan.

Recent Posts

Leave a Comment